X

Kindly register in order to view this article
!

Cadangan tanah rizab Kampung Orang Asli Pantos diluluskan

Wan Rosdy Wan Ismail
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang meluluskan cadangan merizabkan tanah seluas 510.6 hektar di Kampung Orang Asli Pantos, Mukim Hulu Jelai, Lipis.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri pada Khamis.

Beliau berkata, cadangan perizaban di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 828) itu antara tujuannya ialah sebagai tapak projek ekonomi baharu bagi masyarakat orang asli terlibat.

"Projek ekonomi baharu yang dimaksudkan termasuk cadangan penanaman pokok durian bermutu tinggi yang bakal dimajukan secara usaha sama oleh syarikat milik kerajaan negeri dan swasta.

"Manfaatnya akan diperoleh oleh orang asli di kawasan itu dalam bentuk dividen hasil keuntungan daripada syarikat usaha sama berkenaan," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, terdapat seramai 352 keluarga dan 1,940 penduduk orang asli yang sudah lama menetap dalam kawasan yang bakal dirizabkan itu.

"Dalam kawasan sama telah wujud projek ekonomi yang dimajukan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan tanaman kelapa sawit dan getah.

"Melalui projek ini, orang asli terlibat menerima manfaat juga melalui hasil dividen atau keuntungan," katanya.

Tambah beliau, melalui kelulusan cadangan perizaban tanah itu akan memberi manfaat serampang dua mata kepada penduduk orang asli terlibat iaitu dalam aspek jaminan kawasan penempatan dan projek ekonomi yang akan memberi manfaat kepada mereka.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!