X

Kindly register in order to view this article
!

Cita-cita peribadi pemimpin akan 'tewaskan' UMNO

Mohamed Khaled Norden
A
A

JOHOR BAHRU - Cita-cita untuk diri sendiri dan bukan kerana negara, parti, orang Melayu serta Islam adalah masalah UMNO ketika ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, masalah itu akan 'menewaskan' UMNO jika tidak diatasi.

Beliau sehubungan itu berkata, pemimpin UMNO mesti mengendurkan aspirasi peribadi, sebaliknya mengutamakan parti dan negara.

"Kadang-kadang terlalu banyak pertindihan pendirian sehingga ahli dan rakyat jadi bingung yang mana UMNO perjuangkan sebenarnya.

"Jika UMNO ingin berkelangsungan, harus teguh dengan keputusan parti. Maksudnya hanya institusi Presiden dan Majlis Tertinggi sebagai pengemudi perjalanan UMNO.

"Segala yang di luar institusi ini bukan mewakili kepentingan parti, malah elemen canggahan kepada parti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, sama ada ahli bersetuju dengan individu atau tokoh tertentu dalam kepimpinan parti, perkara itu tidak perlu didedahkan sebaliknya biar disimpan dalam nurani.

Bagaimanapun, katanya, disiplin parti mesti dikekalkan.

"Tanpa disiplin, parti akan jadi persendaan ahli dan rakyat. Tanpa kesatuan, UMNO akan meleset dalam seteruk-teruk kemelesetan.

"Kepada semua kabilah dalam parti, kendurkanlah cita-cita kalian demi menyelamatkan UMNO. Kembalilah semua sebagai hanya satu pasukan demi tanah air," katanya.

Tambah beliau, bagi mewujudkan kerajaan yang stabil di Malaysia, UMNO mesti menjadi sebahagian daripadanya, tetapi kini parti itu berhadapan masalahnya tersendiri.

"Pelbagai kabilah dalam UMNO dengan cita-cita masing-masing. Pakatan Harapan (PH) tumbang kerana peranan UMNO menjadi pendesak dan pengatur cara, manakala Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan kerana UMNO memberikan talian hayatnya," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!