X

Kindly register in order to view this article
!

Usah perkecil baka tempatan

Liridon (kanan) menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukannya di Dubai baru-baru ini. -Foto: FB FAM
A
A

JURULATIH berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah tidak bersetuju dengan persepsi bahawa skuad Harimau Malaya sukar untuk menyerlah di peringkat tertinggi jika hanya menyandarkan harapan kepada pemain tempatan.

Beliau berkata, saiz fizikal anak tempatan yang lebih kecil berbanding tenaga asing bukanlah satu alasan memandangkan beberapa pasukan lain dari negara Asia Tenggara dan Asia masih mampu mencipta kejayaan dengan bakat pemain mereka sendiri.

"Saya tak setujulah dengan kenyataan sebegini dan janganlah kita perkecilkan kebolehan pemain tempatan. Kalau nak kata fizikal pemain, mengapa Vietnam boleh buktikan dengan pemain 'bertubuh Asia' dapat layak ke Pusingan Ketiga Piala Dunia.

"Kalau kita tengok negara yang pernah guna pemain naturalisasi macam Jepun pada tahun 1990-an, sekarang mereka dah berhenti gunakan pemain naturalisasi tetapi tumpu pada pembangunan akar umbi sendiri.

"Malah, kalau kita tengok contoh paling dekat, Singapura juga pernah gagal dalam program naturalisasi mereka. Bagi saya, program naturalisasi sekarang ini macam syok sendiri.

"Semua rakyat Malaysia dah lihat macam mana pencapaian pemain naturalisasi negara di Dubai yang sangat teruk. Saya fikir pemain tempatan jauh lebih baik walaupun mempunyai fizikal yang lebih kecil," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada Rabu, bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh berpendapat khidmat pemain naturalisasi yang berkualiti masih diperlukan dalam skuad Harimau Malaya untuk memberikan saingan di pentas antarabangsa.

Ketika ini, Harimau Malaya mempunyai tiga pemain naturalisasi - Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh.

Namun, aksi mereka dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai baru-baru ini menerima kecaman ramai pihak ekoran prestasi hambar berbanding kelibat pemain tempatan.

Dalam pada itu, Mohd Azraai berharap bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dapat melihat semula program naturalisasi berkenaan sekiranya mengambil alih Harimau Malaya nanti.

"Tunku pernah menyuarakan pendapat yang mahu FAM memperincikan kembali program naturalisasi negara. Itu saya sokong dan jika Tunku ambil alih Harimau Malaya, saya harap Tunku dapat melihat ia sebagai perkara paling utama.

"Saya bukan bangkang sepenuhnya pengambilan naturalisasi ini, tetapi biarlah ambil yang berkualiti. Bagi saya pemain import yang datang bermain di Malaysia ini tidaklah bagus sangat, kalau bagus sudah tentu mereka bermain dalam liga lebih baik.

"Sebab itu kita kena teliti betul-betul pemain import ini sebelum beri kerakyatan. Saya yakin jika Tunku ambil alih pasukan kebangsaan ada sesuatu yang boleh dilakukan berdasarkan pengalamannya menguruskan kelab Johor Darul Ta'zim," ujarnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!