Gol kontroversi iringi kemaraan Brazil

No Image Caption
A
A
A

PENYANDANG juara, Brazil dipaksa bermandi peluh sebelum dapat bangkit menewaskan Colombia 2-1 pada aksi kumpulan B Copa America di Stadium Nilton Santos Rio de Janeiro pada Khamis.

Dalam aksi berintensiti tinggi itu, Colombia terlebih dahulu di depan hasil jaringan fantastik sepakan gunting Luis Diaz pada minit ke-10.

Jaringan itu nyata mengejutkan pemain Brazil, yang kemudian tampil mengasak mencari gol penyamaan, namun Colombia tampil lebih bijak menutup setiap ruang untuk kedudukan 1-0 pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, penampilan pemain yang penuh pengalaman saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Roberto Firmino ternyata menambah percikan lebih kreatif pada bahagian penyudah skuad Samba.

Hasilnya pemain berusia 29 tahun yang kini bersama sensasi Inggeris, Liverpool tampil dengan gol penyamaan hasil tandukkan padu pada minit ke-78 untuk kedudukan 1-1.

Bagaimanapun, gol itu sarat kontroversi apabila pemain Los Cafeteros mendakwa pengadil Nestor Pitana seharusnya meniup wisel setelah bola sebelum itu terkena pengadil sebelum Firmino melakukan tindakan penyudah kemas.

Namun hasil pemeriksaan video bantuan pengadil (VAR) mendapati tiada sebarang isu untuk membatalkan jaringan berkenaan.

Gol itu nyata membarakan semangat pemain-pemain Brazil apabila tampil lebih agresif memburu gol kemenangan yang hadir hasil tandukkan padu Casemiro pada minit ke-100 untuk tiga mata.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu terus mengekalkan Brazil di puncak kumpulan dengan sembilan mata dari tiga perlawanan sekaligus mengesahkan kemaraan bergaya ke pusingan seterusnya dengan rekod tanpa kalah.

Sementara itu, Colombia pula berada di kedudukan kedua dengan empat mata hasil dari empat perlawanan.