X

Kindly register in order to view this article
!

Penyamun dikehendaki polis rupanya...

Gambar hiasan.
A
A

IPOH - Seorang wanita warga emas berusia 75 tahun cedera pada leher selepas rantai emas dipakainya direntap seorang lelaki dalam kejadian samun di kediamannya di Batu 9, Chemor di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa didatangi suspek berusia 29 tahun yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC 135 ketika sedang memasak di dapur.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek kemudian bertanyakan sama ada mangsa mengenalinya atau tidak dan mangsa mengakui pernah melihat suspek beberapa bulan lepas kerana pernah datang ke rumah untuk potong rumput.

"Semasa bersembang, mangsa pergi ke dapur untuk melihat masakan dan secara tiba-tiba didatangi suspek dari arah belakang.

"Suspek kemudian bertindak menarik rantai leher dipakai mangsa dianggar bernilai RM2,000 sebelum melarikan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Menurutnya, suspek berjaya ditangkap beberapa jam kemudian oleh orang awam sebelum ditahan polis.

"Polis merampas wang tunai berjumlah RM2,770, sebuah motosikal, topi keledar dan kunci motosikal terbabit.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dia dikehendaki polis bagi kes curi dan pecah rumah," katanya.

Yahaya berkata, suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!