X

Kindly register in order to view this article
!

KPLB sedia pelbagai insentif bantu usahawan dan B40

Abdul Latiff
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyahut agenda kerajaan untuk membantu usahawan dan kumpulan terjejas khususnya golongan B40 melalui beberapa insentif yang disediakan.

Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, kesemua insentif yang dilaksanakan melalui agensi di bawah kementeriannya itu bagi memastikan kelangsungan hidup serta peningkatan pendapatan kumpulan terbabit.

Menurutnya, antara insentif yang ditawarkan di bawah beberapa agensinya ialah pengecualian bayaran premis perniagaan, penangguhan bayaran sewa rumah, pengecualian bayaran sewa tanah, penangguhan bayaran balik pinjaman serta penstrukturan semula dan perluasan program-program keusahawanan.

“Agensi terlibat ialah Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, bagi agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pula, antara insentif yang ditawarkan ialah moratorium, bantuan dan kursus serta bantuan bakul makanan untuk masyarakat orang asli.

Menurutnya, Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga meneruskan inisiatif sedia ada di bawah Pakej Bantuan Mara 3.0 iaitu 'Program Mara Prihatin: Peace Of Mind 3.0', penjadualan semula bayaran balik pembiayaan dan diskaun sewa kepada penyewa premis perniagaan agensi tersebut.

Di bawah inisiatif tersebut, katanya, Mara telah memberi diskaun sewa selama tiga bulan sebanyak 30 peratus kepada semua 5,795 penyewa Mara.

“Secara keseluruhannya, sebanyak RM231 juta telah diperuntukan oleh semua agensi di bawah KPLB untuk membantu golongan terjejas sepanjang 'total lockdown’ ini yang bakal memanfaatkan sejumlah 833,197 orang usahawan, penyewa dan peminjam,” ujarnya.

Tambah Abdul Latiff, kementeriannya turut mengambil pendekatan ke arah pendigitalan pemasaran produk usahawan luar bandar melalui beberapa program; antaranya [email protected], Program Jana Niaga Mara Shopee dan Program [email protected]

Katanya, Program [email protected] yang merupakan penganjuran berbentuk karnival bagi menggalakkan usahawan luar bandar beralih kepada platform digital itu akan dilaksanakan secara maya bermula September hingga Oktober depan.

Di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin pula, Abdul Latiff berkata, sebanyak 1,280 projek bina rumah baharu dan 5,541 projek baik pulih rumah telah diluluskan yang sedang dalam pelaksanaan sejak Januari hingga Mei 2021.

“Jumlah bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM132,772,350. Program ini akan terus dilaksanakan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara dengan sasaran tambahan sebanyak 200 projek bina baharu serta 5,800 projek baik pulih melibatkan peruntukan sebanyak RM142 juta.

“Projek di bawah program ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 ahli isi rumah miskin dan miskin tegar luar bandar dalam bentuk keselesaan serta keselamatan rumah kediaman.

“Selain itu, ia turut juga memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 kontraktor kecil dan pembekal bahan binaan untuk meneruskan perniagaan, selain kira-kira 15,000 pekerja binaan mendapatkan sumber pendapatan,” jelasnya.

Beliau berkata, di bawah Program Latihan Kemahiran dan Kerja (PLKK) pula, seramai 2,224 peserta diluluskan untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran jangka pendek sejak Januari hingga Mei tahun ini.

Katanya, kursus di bawah PLKK itu akan diteruskan secara berperingkat dan disesuaikan dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Pelan Pemulihan Negara dilaksanakan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!