Pemikir gesa projek PSR dibatalkan

Projek PSR yang akan dijalankan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.
Projek PSR yang akan dijalankan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.
A
A
A

SHAH ALAM - Projek penambakan Penang South Reclamation (PSR) yang kini dinamakan Penang South Island (PSI) bagi tujuan komersial perlu dibatalkan kerana ia memberi kesan negatif kepada sosioekonomi serta alam sekitar.

Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Sr Dr Muhammad Farid Saad berkata, projek tersebut beri impak buruk yang berkekalan kepada kekayaan biodiversiti yang ada di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, antara langkah dicadangkan pemaju sebagai penggantian untuk habitat semula jadi yang bakal dimusnahkan oleh penambakan dilihat tidak memadai dan tiada keupayaan untuk menggantikan fungsi habitatnya.

“Selain itu, tempat pendaratan penyu dan kawasan pantai berlumpur akan kehilangan sepenuhnya manakala terumbu karang Pulau Rimau dan kawasan perikanan akan hilang separuh daripadanya.

“Semua Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) penting untuk sistem sokongan hidup demi pemuliharaan kawasan ini dan untuk keperluan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

PSR merupakan satu projek kerajaan negeri yang turut melibatkan satu projek berskala besar iaitu Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dicadangkan sebagai jalan penyelesaian kepada masalah kesesakan lalu lintas di negeri itu.

Dalam pada itu, projek berkenaan turut memberi kesan kepada sumber bekalan ikan dan sumber pencarian nelayan pantai di Pulau Pinang, utara Perak dan Selatan Kedah.

Tambah Muhammad Farid, pengeluaran ikan hasil penetasan dan akuakultur tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan makanan populasi sekarang dan masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Satu pembangunan yang tidak peka kepada kesan negatif berkekalan ke atas biodiversiti dan keselamatan makanan bukanlah pembangunan yang patut dilaksanakan.

“Kurang pemahaman tentang kepentingan pembangunan lestari akan membawa kepada kemusnahan sosioekonomi dan biodiversiti,” ujarnya.