Sidang DUN Kedah diadakan hanya selepas Parlimen bersidang

Muhammad Sanusi ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2021 di DUN Kedah, Wisma Darul Aman pada November tahun lalu.
Muhammad Sanusi ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2021 di DUN Kedah, Wisma Darul Aman pada November tahun lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah tidak berhasrat mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara maya atau hibrid dalam tempoh terdekat, sebaliknya akan bersidang selepas Parlimen bersidang.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, lazimnya persidangan DUN Kedah diadakan pada Julai atau Ogos, namun kali ini berdepan kekangan penularan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, sehubungan itu pihaknya tidak dapat melaksanakan persidangan buat masa ini kerana terikat dengan ordinan darurat.

“Berdasarkan ordinan itu, pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat menjelaskan jemaah menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan meneliti dan merujuk kepada format dan prosedur operasi standard (SOP) Parlimen terlebih dahulu sebagai panduan sebelum diadakan di peringkat negeri.

“Walaupun persidangan Parlimen belum dipastikan akan bersidang, kita akan adakan sesi sidang DUN Kedah selepas Parlimen bersidang. Secara semuka atau maya, kita tunggu perkembangan semasa,” katanya.

Menurutnya, kemungkinan juga persidangan hanya melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kerajaan tanpa kehadiran pemerhati, namun persidangan boleh diadakan secara langsung di laman Facebook rasmi kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir persidangan DUN Kedah diadakan adalah pada 15 hingga 19 November 2020, ketika Muhammad Sanusi membentangkan Belanjawan Kedah 2021. Ia dilakukan dengan mematuhi SOP ketat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada Jumaat, Pakatan Harapan (PH) Kedah menggesa Muhammad Sanusi menghadap Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dengan kadar segera bagi memohon perkenan pembukaan semula persidangan DUN.

Dalam kenyataan bersama oleh Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Datuk Johari Abdul; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew, perkara tersebut selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-raja Melayu bahawa persidangan Parlimen dan DUN perlu diadakan secepat mungkin, selain menamatkan darurat serta menyegerakan vaksinisasi kepada rakyat.