Lebih 600,000 isi rumah M40 tergelincir ke B40

Krisis Covid-19 memberikan tamparan hebat terhadap tahap pendapatan rakyat Malaysia. Foto Bernama
Krisis Covid-19 memberikan tamparan hebat terhadap tahap pendapatan rakyat Malaysia. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Krisis Covid-19 memberikan tamparan hebat terhadap tahap pendapatan rakyat Malaysia apabila lebih 600,000 isi rumah berpendapatan pertengahan M40 tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40.

Menurut laporan Astro Awani, Sekreteriat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC) berkata, sekurang-kurangnya lapan peratus isi rumah menunjukkan penurunan pendapatan di ambang pendapatan maksimum B40 iaitu RM4,850 sebulan.

Menurut beliau, data itu dilaporkan Jabatan Perangkaan untuk tahun 2019.

Katanya, penurunan tahap pendapatan yang ketara itu menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan ketidaksamarataan dan kesan terhadap kedudukan sosioekonomi rakyat Malaysia.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pakej bantuan bernilai RM380 bilion sebagai rangsangan untuk menangani kesan Covid-19 terhadap perniagaan, pengangguran, tahap pendapatan dan golongan masyarakat rentan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif EAC, Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali menjelaskan, anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Malaysia menurun kepada RM42,107 pada tahun 2020 berbanding RM45,973 pada 2019 sebelum wabak Covid-19 melanda dunia.

"Pandemik telah menyebabkan KDNK per kapita menyusut kira-kira 8.4 peratus.

"Sebelum ini kita pada kadar 10.5 peratus ambang pendapatan yang digariskan Bank Dunia, namun hari ini kita ketinggalan sehingga 18 peratus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noor Azlan berkata demikian pada sidang media secara maya mengenai cadangan Sekretariat AEC terhadap penetapan semula Malaysia dalam persekitaran landskap ekonomi baharu pasca pandemik pada Khamis.

Sekretariat EAC mengemukakan lapan agenda penetapan semula untuk penjajaran semula ekonomi negara pasca Covid-19.

Ia termasuk pelaksanaan ekonomi digital; menggalakkan penggunaan dan kemajuan teknologi; menetapkan kedudukan untuk perubahan landskap global serta menggalakkan perkongsian tanggungjawab, tadbir urus baik dan kelestarian.

Turut dicadangkan adalah penyediaan tenaga kerja masa depan; memantapkan penyampaian awam dan menggalakkan pasaran kompetitif; membantu komuniti rentan dan pemulihan serta penstrukturan semula korporat.