'Bukan tak bersyukur, ini faktor nyawa dan keselamatan'

Tular di media sosial sejak dua hari lalu apabila telefon percuma melalui Jaringan Prihatin yang diberikan kepada seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun terbakar walaupun tidak sampai sebulan penggunaan. (Suryani Abdul Ghani)
Tular di media sosial sejak dua hari lalu apabila telefon percuma melalui Jaringan Prihatin yang diberikan kepada seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun terbakar walaupun tidak sampai sebulan penggunaan. (Suryani Abdul Ghani)
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu saudara kepada seorang kanak-kanak yang telefon bimbitnya terbakar sewaktu sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjelaskan luahannya di Facebook baru-baru ini bukan bermakna tidak bersyukur tetapi terkilan dengan kejadian itu.

Suryani Abdul Ghani, 45, yang merupakan seorang guru tuisyen berkata, dia terkilan apabila luahannya itu disalah tafsir sehingga menerima pelbagai reaksi negatif daripada pengguna Facebook.

"Ini bukan isu tidak bersyukur tetapi melibatkan nyawa dan keselamatan kanak-kanak. Sejujurnya, saya rasa bersyukur mendapat bantuan tetapi mesti ada rasa terkilan apabila perkara seperti ini berlaku.

"Kalau pihak kerajaan mahu membantu golongan B40 seperti kami, biarlah seikhlas yang boleh dan beri mengikut kesesuaian serta kemudahan belajar untuk jangka masa panjang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Suryani sebelum ini meluahkan kekecewaan apabila telefon subsidi yang diterima menerusi program Jaringan Prihatin terbakar ketika anak buahnya yang berusia sembilan tahun mengikuti kelas dalam talian pada Isnin di rumah mereka di Gombak.

Insiden itu turut menarik perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengecam kerajaan kerana membenarkan telefon 'berkualiti rendah' diagihkan.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL, Wing K Lee melalui maklum balas berhubung kejadian itu berkata, pihak YTL akan menjalankan siasatan segera berkenaan kejadian terbabit.

Suryani menjelaskan, walaupun sudah mendapat telefon baharu tetapi dia dan anak buahnya masih trauma untuk menggunakan telefon daripada jenama yang sama.

Artikel Berkaitan:

Telefon itu didakwa sering cepat panas setiap kali penggunaan yang mungkin merupakan punca terjadinya letupan kecil pada telefon itu di rumah mereka di Gombak, Kuala Lumpur.
Telefon itu didakwa sering cepat panas setiap kali penggunaan yang mungkin merupakan punca terjadinya letupan kecil pada telefon itu di rumah mereka di Gombak, Kuala Lumpur.

"Semalam wakil syarikat datang dan menggantikan telefon baharu. Mereka turut mengambil telefon lama yang terbakar itu untuk tujuan siasatan. Saya masih belum menggunakannya kerana trauma dan takut kejadian sama berulang," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan program Jaringan Prihatin bernilai RM3.5 bilion yang menyasarkan golongan isi rumah berpendapatan rendah.

Di bawah program ini, mereka yang layak akan diberi subsidi RM300 untuk peranti atau rebat RM180 untuk pelan data sepanjang 12 bulan.

Mereka boleh menambah duit sendiri jika ingin membeli peranti dengan harga melebihi RM300.

Bercerita lanjut Suryani berkata, dia menerima telefon itu selang beberapa minggu selepas memohon bantuan Jaringan Prihatin pada bulan Mei lalu.

Bagaimanapun katanya, telefon itu cepat panas ketika digunakan dan akhirnya terbakar ketika sesi PdPR kira-kira jam 9.30 pagi.

"Saya berdua dengan anak buah di rumah dan ketika pelajaran PdPR hendak bermula, telefon itu terbakar sejurus dibuka. Saya yang sedang membuat persiapan buku untuk belajar tiba-tiba terdengar letupan kecil dan melihat telefon itu dalam keadaan terbakar.

"Saya melihat anak buah kelihatan pucat kerana terlalu terkejut akibat kejadian itu. Sehingga kini, kami tidak tahu punca kebakaran tetapi telefon itu memang cepat panas dan sukar untuk pegang pada waktu yang lama," katanya.