'Persiap pasukan lebih awal'

DOLLAH
DOLLAH
A
A
A

SELEPAS mengesahkan slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023, skuad kebangsaan perlu lebih mantap untuk menempuh satu lagi perjalanan sukar dalam misi menamatkan penantian beraksi di pusingan akhir kejuaraan itu.

Bekas pengendali pasukan negara, Dollah Salleh berkata, saingan pusingan ketiga pastinya lebih sengit dengan kesemua pasukan akan berjuang habis-habisan memandangkan ia adalah medan kelayakan terakhir ke pentas Piala Asia.

Beliau berkata, skuad kebangsaan bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe kini perlu membuat persediaan lebih awal sekiranya tidak mahu Malaysia sekali lagi kempunan beraksi di pusingan akhir kejohanan itu.

"Pasukan negara ada ramai pemain yang bagus dari aspek individu cuma kerjasama berpasukan sahaja masih belum menjadi. Jadi untuk pusingan ketiga, kalau boleh kesemua pemain dapat disatukan lebih awal dalam kem latihan.

"Ia amat penting untuk pasukan negara mendapatkan persiapan yang baik termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan supaya mereka dapat mencapai permainan berpasukan," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam situasi tidak menentu akibat pandemik Covid-19 ketika ini, Dollah mengakui ia sedikit sebanyak akan mempengaruhi persediaan pasukan namun beliau berharap kerajaan dapat terus membantu bagi memudahkan urusan skuad kebangsaan menghadapi pusingan kejuaraan itu.

Dollah berkata, beliau turut menghadapi masalah kesuntukan masa bagi membentuk pasukan ketika membimbing skuad kebangsaan pada pusingan kedua kempen kelayakan itu sebelum ini pada 2015, yang menyaksikan pasukan negara terpaksa melalui aksi ‘playoff’ untuk melayakkan diri pada pusingan ketiga.

Namun, Dollah tidak lagi bersama skuad kebangsaan pada pusingan ketiga selepas meletak jawatan susulan prestasi buruk pasukan negara dalam pusingan kedua dan jurulatih kelahiran Portugal Nelo Vingada diberi tanggungjawab membimbing skuad kebangsaan selepas itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Vingada turut tidak berjaya membawa Malaysia melangkah ke pusingan akhir Piala Asia 2019 selepas skuad kebangsaan gagal menyaingi kehebatan Lubnan, Korea Utara dan Hong Kong sekali gus menamatkan saingan kumpulan pusingan ketiga itu di tempat tercorot.

"Pusingan ketiga memang mencabar dan sekiranya persiapan dilakukan dalam masa singkat, peluang untuk kita dapatkan kemenangan itu susah. Nak mempunyai pasukan yang mantap dan ada keserasian tinggi bukan mudah, mesti ambil masa sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun," kata Dollah.

Skuad Harimau Malaya kendalian Cheng Hoe berjaya mengesahkan tempat di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 selepas menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu awal pagi tadi.

Kejayaan menewaskan Thailand membolehkan Malaysia merampas kedudukan ketiga Kumpulan G daripada skuad Gajah Perang itu dan melangkah secara automatik ke pusingan ketiga yang dijadual berlangsung antara Februari dan Mac tahun depan.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia membuat penampilan di pentas Piala Asia ialah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, namun sudah lebih 40 tahun pasukan negara gagal melangkah secara merit sejak edisi Piala Asia 1980 di Kuwait setelah sering terkandas di pusingan kelayakan.- Bernama