Borang nyata tidak lagi dicetak: LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
A
A
A

PUTRAJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak lagi mencetak dan mengepos borang nyata (BN) tahun ini, sebagai inisiatif untuk menggalakkan pembayar cukai menggunakan kemudahan sistem e-filing.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata penamatan pencetakan dan pengeposan borang nyata itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penggunaan aplikasi digital serta melestarikan alam sekitar di Malaysia (Go Green Campaign).

"Borang-borang tidak lagi dicetak dan diposkan ialah borang E bagi majikan bukan syarikat mulai tahun saraan 2018, borang BE, B, M, P, TP, TJ dan TF mulai tahun taksiran 2018 serta Borang C1, PT, TA, TC dan TR mulai tahun taksiran 2019," kata kenyataan itu.

Sekiranya majikan dan pembayar cukai yang bukan terdiri daripada syarikat serta ejen cukai masih hendak mengemukakan borang nyata kertas, mereka perlu memuat turun dan mencetak sendiri borang nyata dengan format PDF dari portal rasmi di www.hasil.gov.my > menu Borang > Muat Turun Borang, katanya.

"Borang PDF yang dicetak untuk tujuan pengemukaan hendaklah mematuhi spesifikasi cetakan seperti bersaiz A4 (210mm x 297 mm) dengan cetakan laser berwarna hitam.

"Borang tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan akan dianggap tidak diterima dan dikembalikan semula kepada majikan/pembayar cukai," katanya.

LHDN berkata pemakluman berkenaan tidak terpakai kepada majikan dan pembayar cukai syarikat yang diwajibkan menggunakan e-Filing bagi mengemukakan borang C (berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2014) dan borang E (berkuat kuasa mulai tahun saraan 2016).

Orang ramai boleh hubungi Hasil Care Line untuk pertanyaan di talian 1-800-88-5436 atau layari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: