Anak buaya muncul di Tasik Shah Alam

Anak buaya (tanda bulat pada gambar) yang dilihat berada atas pam di tengah tasik.
Anak buaya (tanda bulat pada gambar) yang dilihat berada atas pam di tengah tasik.
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha menangkap anak buaya tembaga yang ditemui atas pam di Tasik Shah Alam, di sini sukar dilakukan ekoran kawasan tasik itu yang sangat besar dan luas.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor, Abd Rahim Othman berkata, setakat ini pemantauan masih dilakukan, sementara pihaknya mengenal pasti kaedah bersesuaian untuk menangkap anak buaya bersaiz kurang semeter itu.

"Kita akan lihat sama ada akan pasang perangkap, jala atau jaring untuk menangkap haiwan itu.

"Cubaan pertama untuk menangkapnya pagi tadi tidak berjaya tapi kita yakin jika tiada sesiapa yang mengganggu haiwan itu, ia pasti dapat ditangkap dalam masa terdekat, "katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ketika ditanya apakah anak buaya itu boleh menyerang pengunjung yang datang ke situ, Abd Rahim berkata, reptilia itu tidak berbahaya.

"Dia tak akan mengganas melainkan pengunjung sendiri yang mendekatinya dengan masuk ke dalam air.

"Sebaiknya, orang awam atau pengunjung diingatkan untuk lebih berhati-hati dan jangan berada berhampiran air di situ buat masa ini," katanya.

Abd Rahim berkata, beliau percaya haiwan itu sengaja dilepaskan ke tasik oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Anggota PERHILITAN sedang melakukan operasi untuk menangkap buaya.
Anggota PERHILITAN sedang melakukan operasi untuk menangkap buaya.

Katanya, ia berikutan tasik itu tidak bersambung dengan mana-mana sungai yang membolehkan haiwan itu masuk.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Ahmad Subhaan Mohamed memberitahu pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.35 pagi tadi.

Susulan itu, sepasukan anggota bersama seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dihantar ke lokasi untuk pemeriksaan.

"Sebaik tiba, kita temui seekor anak buaya berukuran kira-kira dua kaki berada di atas pam di tengah tasik.

"Usaha menangkap haiwan itu kemudiannya di serahkan kepada pihak PERHILITAN," katanya.

Menurutnya, kawasan tasik itu juga ditutup kepada orang ramai.

Dalam perkembangan sama, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, pihaknya maklum berhubung kehadiran buaya kecil itu di tasik berkenaan dan sudah memaklumkan perkara tersebut kepada operator yang mengendalikan bot dan kayak di situ.

"Kita minta mereka tangguhkan sementara aktiviti sukan air di tasik sehingga reptilia itu berjaya ditangkap," katanya kepada Sinar Harian.