Budak 3 tahun nyaris dilarikan pencuri motosikal

Muhammad Ashraf (kiri) yang cedera pada muka dan dahi. Suhaimi turut cedera di tepi pinggang dan lengan kirinya selepas bergelut dengan suspek.
Muhammad Ashraf (kiri) yang cedera pada muka dan dahi. Suhaimi turut cedera di tepi pinggang dan lengan kirinya selepas bergelut dengan suspek.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang kanak- kanak sempat diselamatkan selepas dilarikan pencuri motosikal dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam semalam.

Muhammad Ashraf Suhaimi,3, ketika itu berada di atas motosikal Yamaha 135 LC ketika bapanya Suhaimi Mohd Nor, 39, berhenti seketika di sebuah kedai runcit berdekatan rumah mereka.

Suhaimi berkata, ketika itu dia keluar bersiar-siar dengan anak tunggalnya sebelum singgah di kedai runcit berkenaan sebelum pulang ke rumah.

"Sebelum ini saya jarang bawa anak ke kedai tetapi malam tadi anak ajak keluar jalan- jalan. Jadi saya bawa dia dan singgah ke kedai runcit. Saya hanya singgah tak sampai seminit dan bila keluar kedai suspek dan naik motosikal saya yang mana ketika itu anak ada di ruang depan raga motosikal.

"Saya sempat pegang besi belakang motosikal dan berusaha untuk hentikannya. Selepas 50 meter saya tarik akhirnya motosikal itu terbalik dan anak saya jatuh sekali.

“Saya bergelut dengan suspek kira- kira 15 minit dan tak ada siapa yang tolong. Orang ramai yang datang lepas tu pegang saya dan lepaskan suspek. Saya tak tahu suspek lari ke mana selepas itu,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Katanya, melihat anak dan motosikalnya dilarikan suspek dia tidak berfikir lain hanya mahu menghentikan motosikal itu dan mengambil anaknya.

Akibat terjatuh dari motosikal, Muhammad Ashraf cedera pada bahagian muka dan dahinya manakala, Suhaimi sendiri cedera di lengan dan tepi pinggang selepas terseret ketika mengejar pencuri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Trauma akibat kejadian itu juga menyebabkan Muhammad Ashraf ketakutan dan menangis apabila melihat orang tidak dikenali ke rumahnya. Kejadian itu tular di media sosial selepas ia kongsi orang ramai di Facebook.