X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki 14 rekod dadah cuba lari dari SJR, rempuh pejalan kaki

Suspek berjaya diberkas di kawasan Batu Uban didapati mempunyai dua rekod jenayah selain dadah.
A
A

GEORGETOWN - Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki selepas dia cuba melarikan diri daripada diperiksa dalam kejadian di Jalan Batu Uban berhampiran Kondominium E Park di sini, pada pagi Selasa.

Dalam kejadian jam 6.40 pagi, suspek yang memandu kereta jenis Produa Myvi turut merempuh seorang lelaki yang sedang melintas jalan berhampiran Pasar Pagi Jalan Perak hingga menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pada mulanya suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) ketika berada di persimpangan lampu isyarat Jalan P Ramlee - Jalan Perak.

Menurutnya, dua anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Dato Keramat telah mengarahkan suspek berhenti untuk diperiksa namun dia enggan memberi kerjasama dan terus memecut kereta ke arah Jalan Perak.

"Ketika cuba melarikan diri, suspek yang memandu secara berbahaya merempuh seorang pejalan kaki berhampiran Pasar Jalan Perak dan menyebabkan mangsa berusia 61 tahun maut.

"Suspek terus melarikan diri ke arah Jalan Van Pragh dan menuju ke Jalan Batu Uban 2. Ketika berhampiran kawasan E Park, polis sekali lagi mengarahkannya berhenti namun lelaki itu masih bertindak agresif untuk melarikan diri dan hampir melanggar anggota polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Disebabkan suspek bertindak agresif dan mengancam keselamatan anggota bertugas, polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar sebelah kanan belakang.

Pada masa sama, seorang anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang datang memberi bantuan, telah melepaskan satu das tembakan ke arah hadapan kereta.

Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap di tempat kejadian dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada tiga peket dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 13 gram.

"Pemeriksaan kenderaan yang digunakan suspek mendapati kereta itu didaftarkan atas nama syarikat kereta sewa yang beralamat di Jalan Sg Tiram 3, Bayan Lepas," katanya.

Sementara itu, Soffian memberitahu, semakan yang dibuat mendapati suspek berasal dari Kampung Melayu, Ayer Itam dan bekerja sebagai pemotong rumput mempunyai 14 rekod dadah dan dua rekod jenayah.

Katanya, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Selain itu, suspek akan turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!