Jadikan Selangor sebagai contoh

Darell (empat, kiri) dan Amirudin (tiga, kanan) ketika sesi lawatan MITI ke Selangor, semalam.
Darell (empat, kiri) dan Amirudin (tiga, kanan) ketika sesi lawatan MITI ke Selangor, semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor mampu menjadi negeri paling maju terutama dari segi pelaburan bukan sahaja disebabkan pentadbiran yang baik tapi faktor kedudukannya yang strategik.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Darell Leiking berkata, faktor kedudukan Selangor yang dekat dengan Kuala Lumpur, pelabuhan, lapangan terbang negara termasuk pusat pentadbiran kerajaan dilihat banyak memberi kelebihan.

Walau bagaimanapun, Darell berkata, tidak bermakna negeri-negeri lain tidak bagus tetapi apa yang dicapai Selangor boleh dijadikan contoh untuk mereka mempelajari dan mencipta kejayaan serupa.

"Selangor sangat bertuah kerana dengan faktor-faktor ini banyak membantu khususnya dalam setiap aspek pembangunan negeri itu.

"Malah komitmen tinggi kerajaan negeri untuk menawan hati para pelabur asing untuk datang ke negara khususnya Selangor wajar dipuji," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam sesi lawatan kerja pertama ke Selangor hari ini.

Dalam perkembangan sama, Darell menegaskan semua pihak juga perlu mengiktiraf nilai sesuatu pelaburan yang diperoleh dan bukan sekadar melihat pada jumlah angka pelaburan semata.

"Lihat kemahiran yang boleh dikongsi, peluang pekerjaan yang dicipta serta idea berkongsi kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi di peringkat kerajaan serta negeri," katanya yang memilih Selangor sebagai negeri pertama bagi membincangkan isu-isu berkaitan pembangunan, perindustrian dan pelaburan di peringkat negeri termasuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, Amirudin turut senada dengan Darell dan memberitahu kerajaan Selangor turut memberi penekanan kepada pelaburan berkualiti yang memberi nilai tambah kepada rakyat dan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahukan pelaburan yang boleh wujudkan nilai kepada pembangunan modal insan berkualiti serta pertukaran teknologi.

"Kita tak mahu pelaburan yang besar tapi nilai tambah kepada anak tempatan dan syarikat tempatan tiada," katanya.

Katanya, disebabkan itu kerajaan negeri memfokuskan kepada lima kluster utama sedia ada iaitu elektrikal dan elektronik, makanan dan minuman, peralatan dan jentera, sains hayat dan peralatan pengangkutan yang dilihat boleh dikembangkan lagi.