Gesa pekerja asing dikenakan cukai

Prihatin menggesa kerajaan mengenakan cukai khas ke atas semua pekerja asing yang bekerja di dalam negara. Gambar hiasan.
Prihatin menggesa kerajaan mengenakan cukai khas ke atas semua pekerja asing yang bekerja di dalam negara. Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Malaysia (Prihatin) menggesa kerajaan mengenakan cukai khas ke atas semua pekerja asing yang bekerja di dalam negara.

Presidennya, Irwan Fahmi Ideris mendakwa, pekerja asing ketika ini tidak dikenakan cukai selain bayaran permit dan levi memasuki Malaysia namun menikmati subsidi pelbagai barangan asas seperti warga tempatan.

“Mengapa hal ini terus dibiarkan berlaku? Rakyat Malaysia berpendapatan RM3,100 ke atas perlu membayar cukai pendapatan bagi memberi keseimbangan ekonomi dalam negara.

“Mengapa pekerja asing yang sudah lama bekerja tidak dikenakan cukai? Ini sama sekali tidak adil untuk negara kerana mereka menikmati subsidi kerajaan sama seperti rakyat Malaysia yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan membuat kutipan cukai setiap bulan menerusi potongan gaji daripada majikan supaya cukai boleh dikutip melalui sistem seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Jadi pekerja asing ini tidak dapat mengelak daripada membayar cukai. Majikan perlu bertanggungjawab sepenuhnya kepada pekerja terbabit dan tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas majikan,” jelasnya.

Sementara itu, Irwan berkata, sudah sampai masanya kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengkaji semula pelaksanaan cukai terhadap mereka.

Menurutnya, Malaysia perlu ada sistem cukai tambahan bagi memberi sokongan kepada peningkatan graf ekonomi.

Artikel Berkaitan:

“Semua negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi dunia dan beberapa negara kini sangat terjejas akibat wabak itu.

“Kerajaan tidak akan selamanya bertahan dengan sistem cukai sedia ada dan pada masa yang sama pemberian kemudahan kepada penduduk negara seperti subsidi ini tidak diseimbangkan dengan kadar cukai yang dikutip terutama daripada pekerja asing.

“Cukup-cukuplah mereka menikmati kemudahan negara yang diperoleh secara percuma selama ini. Sudah sampai masa kita bertindak mendapatkan semula kutipan cukai dari mereka agar sistem ekonomi negara dapat diperkukuhkan,” ujarnya.

Jelas Irwan, jangan sampai negara sudah tidak mampu memberi subsidi kepada rakyat jika tidak melaksanakan sistem cukai kepada mereka.