X

Kindly register in order to view this article
!

Palestin anggap kerajaan baharu Israel tetap sama atau lebih buruk

A
A

GAZA - Kumpulan pejuang Hamas pada Ahad berkata mereka tidak mengharapkan berlakunya perubahan positif daripada kerajaan Israel pasca-Netanyahu, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Kami tidak mengharapkan perubahan dalam kerajaan penceroboh, kerana mereka bersatu dengan dasar membunuh dan merampas hak Palestin," tulis jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri di Twitter.

Abu Zuhri mengaitkan kegagalan bekas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu membentuk kerajaan sebagai 'kemenangan' dalam pertempuran 11 hari antara Hamas dan Israel pada Mei.

Di bawah perjanjian gabungan baharu antara lapan parti Israel, Perdana Menteri Neftali Bennett akan menerajui pentadbiran Israel selama dua tahun diikuti parti Yair Lapid untuk tempoh dua tahun berikutnya.

Pembentukan kerajaan baharu itu sekali gus menandakan berakhirnya pemerintahan 12 tahun Netanyahu.

Setiausaha Agung Pergerakan Inisisatif Kebangsaan Palestin Mustafa Barghouti, memberi amaran bahawa kerajaan Bennett akan menyokong penyelesaian pendudukan haram dan diskriminasi kaum serta dilihat bakal lebih ekstrem berbanding pemerintahan sebelum ini.

"Kerajaan baharu ini tiada bezanya dengan pemerintahan Netanyahu, kerana ia adalah kerajaan penjajah, penceroboh dan mengamalkan diskriminasi kaum seperti kerajaan sebelum ini dan bahkan lebih teruk," kata Barghouti.

ARTIKEL BERKAITAN: Netanyahu tersingkir, Naftali Bennett PM baharu Israel

Ia dapat dibuktikan berdasarkan kenyataan Bennett pada Ahad mengenai perluasan kawasan penempatan ke kawasan C Tebing Barat.

Di bawah Perjanjian Oslo 1995 antara Israel dan pihak berkuasa Palestin, Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, dibahagikan kepada tiga bahagian - Kawasan A, B, dan C - dengan kawasan C di bawah kawalan pentadbiran dan keselamatan Israel sehingga perjanjian akhir dengan Palestin dicapai.

Barghouti menyeru warga Palestin dan dunia untuk menghadapi 'kerajaan perkauman' melalui cara penentangan, boikot, dan sekatan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!