Suspek kelima kes pecah rumah Datuk Bandar MBPP ditahan

Suspek kelima kes pecah rumah rasmi Datuk Bandar MBPP ditahan awal pagi Isnin di Balik Pulau.
Suspek kelima kes pecah rumah rasmi Datuk Bandar MBPP ditahan awal pagi Isnin di Balik Pulau.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah rasmi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Jalan Park, Pulau Tikus pada awal pagi Isnin.

Penahanan suspek berkenaan menjadikan sehingga kini seramai lima suspek telah ditahan berkaitan kes terbabit.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, suspek kelima berusia 32 tahun itu ditahan di kawasan Balik Pulau di sini.

"Suspek kelima sudah ditahan awal pagi tadi di Balik Pulau.

"Dia berusia 32 tahun," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp pada pagi Isnin.

Pagi Sabtu, empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah rumah rasmi Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang.

Sebelum itu, ahli keluarga Tung Seang mendapati bahagian atas rumah tersebut berselerak dipercayai diselongkar.

Melalui pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati, suspek telah memasuki rumah dua tingkat tersebut pada jam 5 pagi lalu melarikan beberapa barangan termasuk sebuah kereta.

Artikel Berkaitan:

Susulan daripada itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menahan empat lelaki berusia lingkungan 27 hingga 37 tahun termasuk dua beradik di sebuah rumah di Bagan Ajam, Butterworth pada jam 10.15 pagi, Sabtu.

Antara barangan yang dirampas dari kesemua suspek adalah satu unit komputer riba, beberapa buah telefon bimbit, beg jenama Louis Vuitton, sebuah kereta Honda CRV dan beberapa keping wang tunai matawang asing.

Tiga daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang mana suspek berusia 35 tahun mempunyai 21 rekod jenayah selain dikehendaki polis kerana kesalahan mencuri.

Suspek kedua yang berusia 27 tahun mempunyai tiga rekod lampau melibatkan dadah manakala suspek ketiga yang merupakan abangnya berusia 37 tahun mempunyai 11 rekod lampau.

Sementara itu, suspek keempat berusia 32 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dua daripada suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mekanik manakala dua lagi tidak mempunyai pekerjaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah Datuk Bandar dipecah masuk, empat lelaki ditahan