Rumah Datuk Bandar dipecah masuk, empat lelaki ditahan

Melalui pemeriksaan CCTV mendapati suspek telah memasuki rumah dua tingkat tersebut pada jam 5 pagi dan melarikan beberapa barangan termasuk sebuah kereta.
Melalui pemeriksaan CCTV mendapati suspek telah memasuki rumah dua tingkat tersebut pada jam 5 pagi dan melarikan beberapa barangan termasuk sebuah kereta.
A
A
A

GEORGETOWN - Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah masuk kediaman rasmi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Jalan Park, Pulau Tikus di sini pada pagi Sabtu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun beliau berkata, sebahagian barang kes telah dijumpai semula dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Empat suspek ditahan dan sebahagian barang kes dijumpai semula. Oleh itu, kita berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

"Kita masih meneruskan siasatan lanjut dan sedang mengesan beberapa suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ini," katanya ketika dihubungi pada malam Sabtu.

Sahabudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kejadian disedari keluarga Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang apabila mendapati bahagian atas rumah tersebut berselerak dipercayai diselongkar.

Melalui pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati suspek telah memasuki rumah dua tingkat tersebut pada jam 5 pagi dan melarikan beberapa barangan termasuk sebuah kereta.

Artikel Berkaitan:

Susulan daripada itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menahan empat lelaki berusia lingkungan 27 hingga 37 tahun termasuk dua beradik di sebuah rumah di Bagan Ajam, Butterworth pada jam 10.15 pagi, Sabtu.

Kesemua mereka yang ditahan dalam tugas Ops Cantas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk siasatan lanjut.

Tiga daripada empat suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau di mana suspek pertama yang berusia 35 tahun itu mempunyai 21 rekod jenayah selain dikehendaki polis kerana kesalahan mencuri.

Suspek kedua (27 tahun) mempunyai tiga rekod lampau melibatkan dadah manakala suspek ketiga yang merupakan abangnya berusia 37 tahun mempunyai 11 rekod lampau dan.

suspek keempat (32 tahun) tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dua daripada suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mekanik manakala dua lagi tidak mempunyai pekerjaan.

Antara barangan yang dirampas dari kesemua suspek adalah satu unit komputer riba; beberapa telefon bimbit; beg jenama Louis Vuitton, sebuah kereta Honda CRV dan beberapa keping wang tunai mata wang asing.