Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' mulai beroperasi

Tamat
Caption
Amiruddin (dua,kiri) mengiringi Kamaruzzaman (dua, kanan) melawat Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn
Tamat Caption Amiruddin (dua,kiri) mengiringi Kamaruzzaman (dua, kanan) melawat Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Bandar Dato' Onn, di sini, telah memulakan operasinya dengan melibatkan lima teras perkhidmatan penjagaan kesihatan iaitu perubatan ortopedik, geriatrik, onkologi, kardiologi dan pusat rawatan wanita dan kanak-kanak.

Presiden dan Pengarah Eksekutif KPJ Healthcare Berhad, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, ia turut menawarkan 12 klinik pakar dan disokong oleh perkhidmatan sokongan seperti Perkhidmatan Pengimejan Digital (DIS), kimoterapi, fisioterapi dan makmal.

Menurutnya, kini, hospital berkenaan mempunyai sembilan doktor konsultan residen dan 23 doktor pelawat.

"Hospital ini merupakan hospital pakar KPJ yang keenam di Johor dan ke-26 dalam rangkaian hospital KPJ di Malaysia.

“Menerusi pembukaan hospital ini, kami yakin ia mampu membantu kumpulan KPJ untuk meneruskan momentum bagi mengukuhkan kehadiran dan kedudukannya di wilayah selatan ini,” katanya.

Sempena pembukaan operasi hospital tersebut, turut diadakan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corp (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim,

Hadir sama Pengarah Eksekutif Strategik KPJ, Aminuddin Dawam dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn, Asmadi Mohd Bakri.

Amiruddin berkata, hospital itu yang dibina melibatkan kos keseluruhan lebih RM250 juta di atas kawasan seluas 5.34 hektar.

Artikel Berkaitan:

"Hospital ini setinggi sepuluh tingkat dengan kapasiti penuh 150 buah katil dan disokong seramai 147 anggota pekerja yang bertauliah.

"Kedudukannya juga strategik dan boleh diakses melalui Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan Lebuhraya Penyuraian Timur Johor Bahru (EDL).

"Kehadiran hospital ini di Johor adalah selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebagai hab rawatan perubatan bagi pelancongan kesihatan di rantau ini," katanya.