MFL umum jadual baharu Liga Malaysia

Ab Ghani
Ab Ghani
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan kalendar Liga Malaysia (Liga-M) bakal kembali bersambung Julai depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, kempen Liga Premier 2021 bakal bermula pada 3 Julai 2021 manakala bagi saingan Liga Super 2021 pada 24 Julai 2021.

Bagaimanapun, menurut Ab Ghani, beberapa pindaan jadual terpaksa dilakukan setelah Johor Darul Ta’zim (JDT) yang beraski di Liga Juara-juara Asia (ACL) selain Kedah Darul Aman FC (KDAFC) dan Terengganu FC (TFC) yang beraksi dalam kempen Piala AFC diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang ke tanah air.

“Pindaan jadual Liga-M ini tidak dapat dielakkan apabila JDT yang akan mengharungi kempen ACL di Thailand dikehendaki kuarantin selama 14 hari selepas pulang ke tanah air, manakala KDAFC dan TFC yang akan beraksi dalam Piala AFC dijangka akan menjalani prosedur kuarantin yang sama namun sehingga kini Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih belum menetapkan tarikh dan venue baharu bagi kejohanan berkenaan.

“Sebelum ini pasukan hanya dihendaki kuarantin selama tujuh hari sehaja selepas pulang dari luar negara tetapi KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menetapkan kuarantin selama 14 hari bagi mengelakkan sebarang pembawa virus baharu masuk ke dalam negara.

“Selain daripada itu, skuad Harimau Malaya yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) setelah beraksi dalam kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang turut menjalani kuarantin selama 14 hari juga antara salah satu faktor jadual Liga Super dan Liga Premier dipinda,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi hari ini.

Selain itu menurut Ab Ghani, tarikh baharu perlawanan juga melibatkan dua perlawanan Liga Premier yang tertunda sebelum ini di antara Selangor FC 2 dengan Sarawak United FC ekoran cuaca buruk dan Perak FC II menentang Kelantan FC disebabkan pemain-pemain Kelantan FC diarahkan untuk kuarantin selama 10 hari oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat terdapat pemain mereka didapati positif Covid-19.

“Kedua-dua perlawanan tertunda itu akan dipinda pada tarikh baharu iaitu Perak II bertemu Kelantan FC di Stadium Perak, Ipoh pada 29 Jun 2021 manakala Selangor II menentang Sarawak United bakal berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 30 Jun 2021,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani melahirkan kegusaran jadual berkenaan akan dipinda lagi sekiranya AFC membuat keputusan untuk meminda jadual AFC 2021 ke tarikh berlainan daripada jadual asal.

“Merujuk kepada kenyataan AFC bertarikh 27 Mei 2021, Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) telah menarik diri sebagai hos Piala AFC 2021 akibat peningkatan penularan Covid-19 di negara berkenaan dan MFL telah dimaklumkan bahawa AFC akan memaklumkan venue baharu.

“Sekiranya pihak AFC membuat keputusan untuk meminda jadual Piala AFC 2021 yang melibatkan pasukan KDA dan TFC ke tarikh serta bulan yang berlainan dari jadual asal, ia dilihat akan memberi impak kepada penjadualan Liga-M dan Piala Malaysia 2021.

“AFC melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor John semalam mendedahkan pihaknya masih berusaha untuk mengintai penganjur baharu saingan Piala AFC. Ini kerana tiada mana-mana negara keberatan untuk menganjurkan kejohanan itu berikutan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu Ab Ghani berkata, jadual Liga-M 2021 tidak boleh dipinda melebihi bulan November berikutan kebanyakan kontrak pemain dan pegawai hanya sah sehingga penghujung November 2021.

Menurutnya, MFL melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menyatakan secara rasmi berhubung kepada AFC supaya sebarang pindaan bagi pihak tuan rumah hendaklah dibuat berlandaskan jadual asal bagi memastikan perangkaan penjadualan liga domestik tidak terjejas.

“Liga Super akan tetap bermula pada 24 dan 25 Julai 2021 berikutan penyertaan pasukan JDT dalam kejohanan ACL di Thailand mulai 21 Jun hingga 7 Julai 2021 (tiada usul penangguhan dari AFC setakat ini) dan pasukan JDT wajib menjalani kuarantin 14 hari yang dikuatkuasakan oleh MKN.

“Jumlah perlawanan Piala Malaysia 2021 tidak dapat dikurangkan berikutan komitmen MFL terhadap penaja untuk melaksanakan perlawanan seperti perjanjian.

“Oleh itu, saya berharap pasukan-pasukan terus kekal fokus dan berdisiplin mematuhi operasi prosedur standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh pandemik Covid-19,” katanya.