Hentikan tangkap ikan tamalian

Azahari menunjukan gambar ikan tamalian yang di larang ditangkap oleh nelayan darat dan pemancing sepanjang tiga bulan di pejabatnya.
Azahari menunjukan gambar ikan tamalian yang di larang ditangkap oleh nelayan darat dan pemancing sepanjang tiga bulan di pejabatnya.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perikanan Pahang melarang masyarakat untu menangkap ikan tamalian atau Prabarbus Jullieni bermula bulan ini hingga April depan.

Pengarahnya, Azahari Othman berkata, larangan tersebut dibuat kerana sudah tiba musim bertelur ikan terbabit di beberapa kawasan lubuk.

“Kita akui kegiatan menangkap ikan berkenaan yang banyak terdapat di Sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Tembeling kini berleluasa kerana permintaan menggalakkan selain harga yang tinggi.

“Jadi untuk tempoh ini, kita minta nelayan jangan menangkap ikan tersebut,” katanya yang meminta nelayan darat di Maran dan Jerantut supaya mematuhi peraturan larangan itu.

Beliau berkata, pihaknya akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap nelayan darat dan pemancing yang melakukan aktiviti menangkap dan memiliki ikan tamalian.

Jelasnya, peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang yang membolehkan pesalah dikenakan kompaun RM100 dan peralatan menangkap ikan mereka dirampas.

“Larangan kita hanya beberapa bulan sahaja.. ini bagi membolehkan ikan itu bertelur dan memperbanyakkan spesiesnya pada masa akan datang.

“Jadi, kita mahu nelayan dan pemancing patuhi amaran yang telah kita keluarkan,” katanya.

Azahari berkata, ikan tamalian yang akan ke kawasan lubuk dan air cetek untuk bertelur secara berpasangan dan memudahkan nelayan darat menangkapnya dengan hanya menggunakan jaring hanyut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya,pihaknya mengesan nelayan darat di beberapa kampung tradisional seperti Kampung Pagi dan Kampung Durian Hijau, Jerantut; Kampung Paloh Hinai, Pekan; Lubuk Paku dan Kampung Pejing, Maran kini aktif melakukan aktiviti menangkap itu.

Azahari menambah, spesies ikan itu semakin berkurangan berbanding lima hingga 10 tahun disebabkan penangkapan dilakukan nelayan darat dan pemancing disebabkan harganya yang tinggi.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya sudah memasang lebih 40 papan tanda di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai sebagai peringatan kepada pihak berkaitan supaya tidak melakukan aktiviti menangkapnya.

“Pada bulan lain aktiviti menangkap ikan berkenaan boleh dilakukan, kini pegawai penguatkuasa melakukan rondaan secara berjadual bagi mengesan individu yang melakukan kesalahan," katanya.

Pihaknya kini turut melakukan pemeriksaan kedai jualan ikan termasuk pekan sehari di Maran, Jerantut dan Pekan bagi mengesan individu yang memiliki dan menjual ikan berkenaan.