Jentera PH sudah 'tawan' 70 peratus kawasan

No Image Caption
A
A
A

SEMENYIH - Sehingga semalam, kempen calon PH PRK DUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali sudah meliputi lebih 40 peratus kawasan di DUN itu.

Bagi jentera PH pula, mereka sudah bergerak ke lebih 70 peratus kawasan, sesuatu yang Muhammad Aiman anggap sebagai satu kesungguhan yang baik hasil kerjasama berpasukan jentera parti itu.

Pemuda berusia 30 tahun itu berkata, kawasan berkenaan merangkumi kawasan perumahan di bandar dan kampung.

"Untuk saya sendiri (bertemu pengundi), saya sudah meliputi lebih 40 peratus kawasan Semenyih, termasuklah pekan Semenyih, kawasan Beranang dan lokasi tumpuan awam seperti pasar pagi dan pasar besar," katanya kepada Bernama ketika berkempen di Taman Semenyih Indah, di sini.

Katanya, berdasarkan maklum balas yang diterima ketika berkempen, ramai pengundi menyatakan sokongan padu kepada PH.

Pada PRK itu, Muhammad Aiman berdepan cabaran calonBN, Zakaria Hanafi; calon Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai 'Uncle Kentang'.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bahtiar Mohd Nor, 57, yang juga merupakan bapa mertua Muhammd Aiman pada 11 Januari lepas, akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac sebagai hari mengundi, sementara pengundian awal 26 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam berkempen, Muhammad Aiman menggunakan peluang yang ada untuk mengenal pasti isu yang membelenggu penduduk di Semenyih dan beliau merumuskan dua isu besar iaitu kesesakan lalu lintas dan ketiadaan hospital kerajaan.

Katanya, soal hospital merupakan satu kemudahan yang sangat kritikal bagi penduduk di Semenyih.

"Umum mengetahui Hospital Kajang sudah terlalu kecil untuk menampung lambakan pesakit hinggakan ada yang terpaksa diletakkan di koridor. Kepadatan penduduk yang bertambah, kepesatan pembangunan dan perumahan serta faktor jarak Hospital Kajang yang jauh, jelas menunjukkan rakyat perlukan hospital baharu," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Aiman berkata jenteranya perlu lebih agresif dalam kempen mereka untuk bertemu pengundi seramai mungkin.

“Jentera kita semua bersemangat. Saya tetap akan turun ke setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan berusaha sepenuhnya untuk meningkatkan lagi capaian kempen itu,” katanya. - Bernama