Matrade perkenal langkah MDG tambahan untuk bantu PKS

Matrade mengumumkan inisiatif tambahan di bawah Geran Pembangunan Pasaran (MDG) untuk memastikan pengeksport Malaysia kekal berdaya tahan ketika pandemik Covid-19. - Gambar hiasan
Matrade mengumumkan inisiatif tambahan di bawah Geran Pembangunan Pasaran (MDG) untuk memastikan pengeksport Malaysia kekal berdaya tahan ketika pandemik Covid-19. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengumumkan inisiatif tambahan di bawah Geran Pembangunan Pasaran (MDG) untuk memastikan pengeksport Malaysia kekal berdaya tahan ketika pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan pada Khamis, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan sangat aktif dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka di seluruh dunia menerusi perkongsian dengan pembeli antarabangsa.

“Bagaimanapun, pandemik ini telah menjejaskan keteguhan perniagaan mereka selain mengurangkan pertumbuhan eksport,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Matrade, menyokong usaha PKS melalui MDG untuk meningkatkan kemudahan aktiviti eksport.

“Dengan usaha berterusan kami untuk mengekalkan PKS di pasaran global, inisiatif tambahan diperkenalkan untuk menangani cabaran besar itu,” kata Mohd Mustafa.

Mohd Mustafa berkata, inisiatif tambahan itu termasuk menangani peningkatan kos eksport, memudahkan penyertaan dalam acara maya seperti pameran perdagangan antarabangsa dan pameran dalam dan luar negara, serta menangani kerugian akibat pembatalan atau penangguhan aktiviti galakan eksport.

Ia akan turut membantu dari segi pendaftaran Pensijilan Antarabangsa bagi eksport, pendaftaran harta intelektual (IP) untuk pasaran antarabangsa, serta penjenamaan dan pengiklanan untuk eksport, termasuk melalui platform digital.

Inisiatif MDG berkenaan akan bermula daripada 15 Julai ini sehingga akhir tahun.

Artikel Berkaitan:

Sejak Mac 2020 sehingga akhir Mei tahun ini, Matrade telah membantu seramai 1,350 pengeksport PKS di Malaysia menerusi 6,810 aktiviti yang merangkumi industri seperti perabot, produk minyak sawit, produk perubatan, produk kayu, makanan tersedia, jentera dan peralatan dan perkhidmatan kejuruteraan.

Menurut Matrade, PKS berkenaan mencatatkan eksport berjumlah RM2.6 bilion dalam tempoh itu. - Bernama