Bayaran GKP 3.0 dibuat mulai 10 Jun secara berperingkat

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM5.08 bilion telah dan akan disalurkan kepada hampir satu juta perniagaan kecil dan sederhana (PKS) mikro di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) semenjak pandemik Covid-19 melanda negara, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut beliau, kerajaan berharap bantuan langsung yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka terutamanya yang amat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada kali ini.

Tengku Zafrul berkata, di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) kerajaan telah memutuskan pemberian GKP 3.0 sebanyak RM1,000 kepada lebih satu juta peniaga mikro untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka, khususnya dalam menguruskan aliran tunai masing-masing.

"Melalui program Pemerkasa Tambahan yang diumumkan pada 31 Mei 2021, kerajaan telah mengumumkan komitmen yang sama sepanjang tempoh PKP 3.0 dengan pemberian tambahan sebanyak RM500 yang menaikkan jumlah bayaran kepada RM1,500 bagi setiap PKS mikro.

"Sukacita dimaklumkan bahawa hampir satu juta PKS mikro melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0 dan GKP 2.0 serta PKS mikro yang baharu lulus GKP 3.0 akan menerima bayaran sebanyak RM1,000 mulai 10 Jun 2021 (Khamis) secara berperingkat melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM1.0 bilion," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tengku Zafrul berkata, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 8 Jun 2021 di pautan https://gkp.hasil.gov.my.

"Bayaran tambahan sebanyak RM500 itu yang melibatkan peruntukan hampir RM500 juta akan dibayar pada Julai 2021 menjadikan jumlah keseluruhan GKP 3.0 sebanyak RM1.5 bilion," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: