Covid-19: Enam negeri catat jumlah perdagangan lebih tinggi

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam negeri mencatatkan peningkatan jumlah perdagangan pada 2020 dalam keadaan berlakunya pandemik Covid-19 walaupun perdagangan Malaysia mengalami prestasi sebaliknya iaitu penurunan 3.6 peratus kepada RM1.78 trilion, daripada RM1.84 trilion pada 2019.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 2020 merupakan tahun yang mencabar bagi ekonomi disebabkan pandemik dan turut memberi kesan kepada aktiviti perdagangan di seluruh dunia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, enam negeri yang peningkatan jumlah perdagangan itu ialah Pulau Pinang (+RM38.6 bilion), Sabah (+RM4.5 bilion), Pahang (+RM3.5 bilion), Kedah (+RM3.0 bilion), Kelantan (+RM969.7 juta) dan Perak (+RM294.8 juta).

“Lima negeri mendominasi eksport Malaysia ialah Pulau Pinang (31.8 peratus), Johor (20.0 peratus), Selangor (18.9 peratus), Sarawak (6.7 peratus) dan Perak (3.2 peratus).

“Eksport bagi lima negeri ini menyumbang sebanyak 80.5 peratus daripada jumlah eksport Malaysia,” katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Perdagangan Malaysia Mengikut Negeri 2021 bagi Tahun Rujukan 2020 yang dikeluarkan pada Selasa.

Mohd Uzir berkata, eksport Malaysia pada 2020 bernilai RM981.0 bilion, turun 1.4 peratus daripada RM995.1 bilion pada 2019 manakala import pula mencatatkan penurunan 6.3 peratus kepada RM796.2 bilion daripada RM849.4 bilion.

Beliau berkata, penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah terutama oleh Sarawak (-RM15.5 bilion), Selangor (-RM11.3 bilion), Johor (-RM5.3 bilion), Sabah (-RM4.2 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (-RM3.4 bilion), Terengganu (-RM2.8 bilion), Negeri Sembilan (-RM2.3 bilion), Wilayah Persekutuan Labuan (-RM2.1 bilion), Kedah (-RM0.4 bilion) dan Perlis (-RM0.1 bilion).

“Bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM28.4 bilion, Pahang (+RM3.4 bilion), Perak (+RM2.0 bilion), Melaka (+RM0.5 bilion) dan Kelantan (+RM0.1 bilion),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada masa sama, penurunan import disebabkan oleh import yang lebih rendah dari Selangor (-RM23.7 bilion), Johor (-RM19.7 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (-RM10.2 bilion), Melaka (-RM9.7 bilion), Negeri Sembilan (-RM6.1 bilion), Terengganu (-RM1.8 bilion), Perak (-RM1.7 bilion), Sarawak (-RM1.2 bilion), Perlis (-RM0.5 bilion) dan Wilayan Persekutuan Labuan (-RM0.2 bilion).

"Sebaliknya, nilai import meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM10.2 bilion, Sabah (+RM8.6 bilion), Kedah (+RM3.4 bilion), Kelantan (+RM0.9 bilion) dan Pahang (+RM0.1 bilion)," katanya. - Bernama