X

Kindly register in order to view this article
!

Segerakan vaksin petugas media Perak: PPMP

PPMP mahu petugas media di negeri ini segera divaksin kerana kumpulan itu berdepan risiko jangkitan Covid-19 yang tinggi ketika bertugas. Gambar kecil: Sayed Mohd Hesham
A
A

IPOH - Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) menggesa kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada pengamal media di negeri ini kerana mereka berdepan risiko jangkitan Covid-19 ketika bertugas.

Pengerusinya, Sayed Mohd Hesham Syed Idris berkata, sehingga Isnin, pengamal media di negeri ini masih belum menerima sebarang notifikasi janji temu bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menurut beliau, pengamal media merupakan sebahagian daripada petugas barisan hadapan memberikan laporan setiap hari sejak negara dilanda pandemik Covid-19 setahun lalu.

"PPMP merayu pertimbangan daripada pihak kerajaan untuk membantu mempercepatkan pemberian vaksin kepada pengamal media di negeri ini agar dapat menjalankan tugas dengan lebih yakin.

"PPMP juga berharap petugas media di Malaysia tidak menjadi barisan hadapan yang di belakangkan dalam pemberian vaksin supaya kami dapat terus berkhidmat, berbakti dan membawa agenda kerajaan bagi mencapai imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa

Menurutnya, berdasarkan kenyataan Menteri Penyelaras Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Isnin, petugas media yang berdaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin itu pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sehingga kini petugas media di Perak terus ternanti-nanti peluang untuk mereka mendapatkan suntikan tersebut seperti yang dijanjikan.

Sementara itu, Sayed Mohd Hesham berkata, keadaan semasa pandemik Covid-19 dijangka berterusan dan sepanjang tempoh berkenaan pengamal media perlu menjalankan tugas di lapangan bagi mendapatkan maklumat yang tepat untuk dilaporkan kepada masyarakat.

"Sepanjang tempoh negara berdepan dengan pandemik ini, sebahagian pengamal media di Perak telah beberapa kali melalui tempoh kuarantin diri dan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

"Pada 3 Mei lalu, seramai 22 petugas media daripada pelbagai agensi di negeri ini menjalani kuarantin setelah dikesan menjadi kontak rapat kepada pesakit yang disahkan positif Covid-19," katanya.

Menurutnya, keadaan itu membuktikan tugas warga media di lapangan sangat terdedah dengan risiko tinggi jangkitan Covid-19.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!