'Mak sempat telefon minta tolong'

Anggota bomba membawa keluar mayat mangsa dari lokasi kebakaran di Kampung Losong Haji Su, di Kuala Terengganu. Gambar kecil: Zailah
Anggota bomba membawa keluar mayat mangsa dari lokasi kebakaran di Kampung Losong Haji Su, di Kuala Terengganu. Gambar kecil: Zailah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Mak sempat telefon minta tolong namun tidak beritahu rumah terbakar," kata anak kepada warga emas yang ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Losong Haji Su, di sini pada Isnin.

Zailah Jusoh, 47, berkata, dia tidak menyangka panggilan diterima daripada ibunya, Fatimah Mohd, 79, pada jam 10. 30 pagi tadi adalah yang terakhir sebelum ibunya meninggal dunia.

"Sebaik menerima panggilan itu saya rasa tak sedap hati sebab mak tak cakap apa-apa cuma minta tolong. Saya kemudiannya bergegas ke sini dan terkejut lihat api sedang marak dan pihak bomba sedang padam kebakaran.

"Ketika itu saya nampak ayah saya, Jusoh Muda, 83, berada di bahagian depan rumah dengan keadaan kaki melecur," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Zailah, kali terakhir dia bertemu ibunya itu Sabtu lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan jam 10.39 pagi sebelum tiba ke lokasi kejadian tiga minit kemudian.

Katanya, sebanyak tiga jentera dengan 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota dan BBP Kuala Terengganu dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kediaman ini telah 80 peratus terbakar manakala dua lagi kediaman iaitu di sebelah kiri dan kanan terbakar lima peratus.

Artikel Berkaitan:

"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian," katanya.

Dalam pada itu, Md Hilman berkata, siasatan awal tragedi itu dipercayai tiada unsur jenayah namun pihak bomba akan jalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.

Katanya, mangsa yang 100 peratus terbakar ditemukan di atas tanah dalam kawasan rumah sebaik kebakaran berjaya dipadamkan.

"Mangsa tidak berjaya diselamatkan manakala suaminya terselamat dan melecur pada bahagian kaki.

"Difahamkan, ketika kejadian, suami mangsa cuba untuk menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya kerana keadaan mangsa yang uzur dan tidak dapat berjalan menyebabkan pergerakan terbatas," katanya.