X

Kindly register in order to view this article
!

Persidangan Parlimen hibrid buka perspektif baharu

Sesi persidangan Parlimen hibrid yang sedang dikaji konsep dan mekanisme pelaksanaannya oleh jawatankuasa khas minggu lalu bakal membuka suatu perspektif baharu bagi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Malaysia. Gambar kecil: Rais Yatim
A
A

SHAH ALAM - Sesi persidangan Parlimen hibrid yang sedang dikaji konsep dan mekanisme pelaksanaannya oleh jawatankuasa khas minggu lalu bakal membuka suatu perspektif baharu bagi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Malaysia.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, jawatankuasa khas yang dianggotai Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta Ketua Pentadbir Parlimen telah meneliti konsep dan kaedah pelaksanaan sistem hibrid itu daripada pelbagai sudut dan permasalahan, termasuk mengambil kira amalan persidangan hibrid Parlimen negara-negara luar seperti United Kingdom, Australia dan lain-lain.

Menurutnya, jika cadangan persidangan hibrid tersebut diterima dan diperkenankan oleh kabinet dan Yang di-Pertuan Agong, maka suatu proses persidangan inovatif akan muncul di mana persidangan secara tradisional 'bersidang di dalam dewan', bagi memastikan syarat minimum korum persidangan dipatuhi dan juga bersidang secara maya.

"Beberapa aspek penting sedang dalam penelitian jawatankuasa khas khususnya dari sudut takrif dan pelaksanaan baharu untuk diterima pakai demi memastikan tiada sebarang pelanggaran perundangan yang melibatkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang berkuatkuasa pada masa ini.

"Lantaran konsep dan prosedur ini melibatkan pelbagai implikasi bukan sahaja perundangan termasuk peraturan mesyuarat kedua-dua dewan tetapi juga ketentuan baharu berkaitan kelakuan serta tingkah laku ahli-ahli Parlimen sendiri selain hal-ehwal prasarana dan kelengkapan legislatif.

"Jawatankuasa khas juga secara khusus mengambil kira himpitan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan rakyat pada hari ini serta mengambil berat kelangsungan suara rakyat di Parlimen yang berpaksikan pemerintahan Raja Berperlembagaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Rais berkata, selain itu, jawantankuasa khas itu juga akan mengambil kira implikasi pengkuatkuasaan pemerintahan darurat yang berdepan dengan cabaran kewangan dan beban tugas para pentadbir Parlimen serta perimbangan kemampuan mengemaskini prasarana yang sedia ada membabitkan komunikasi 222 kawasan Dewan Rakyat dan 70 senator yang bertebaran di seluruh tanah air.

Katanya, jawatankuasa khas ini akan meneruskan mesyuarat susulan pada Selasa 8 Jun 2021.

"Dengan terlaksananya projek legislatif itu ia merupakan suatu usaha yang murni dan amat membina kerana dalam apa jua keadaan, Parlimen sebagai institusi induk pemerintahan demokrasi perlu berfungsi.

"Usaha ini membuktikan kepada rakyat bahawa pihak legislatif dan eksekutif amat berobjektif terhadap keperluan dan tuntutan semasa khasnya bagi mendapatkan pandangan jujur, ikhlas dan membina daripada seluruh ahli Parlimen dan Senator dalam mengatasi ancaman Covid-19 di Malaysia yang ketika ini sudah meragut 3,378 nyawa dengan keseluruhan kes menjangkau 616,815.

"Dalam menjayakan matlamat murni dan objektif ini, kuasa-kuasa eksekutif dan legislatif perlu dicantumkan supaya hasilnya menyempurnakan kehendak-kehendak Perlembagaan Persekutuan, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan kuasa)1952, Peraturan Mesyuarat kedua-dua Majlis Dewan dan peraturan-peraturan sampingan berkaitan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!