Polis Terengganu terima 5,756 permohonan rentas negeri, daerah

Rohaimi (kiri) melihat surat kebenaran rentas daerah seorang pemandu ketika meninjau pematuhan SOP di sekatan jalan raya di Jambatan Sultan Mahmud di sini pada Ahad.
Rohaimi (kiri) melihat surat kebenaran rentas daerah seorang pemandu ketika meninjau pematuhan SOP di sekatan jalan raya di Jambatan Sultan Mahmud di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 5,756 permohonan merentas negeri dan daerah diterima di Terengganu dalam tempoh lima hari selepas Sekatan Pergerakan Penuh atau ‘total lockdown’ diadakan bermula 1 Jun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, daripada jumlah itu sebanyak 216 permohonan ditolak berikutan alasan tidak munasabah termasuk gagal mengemukakan dokumen sokongan diperlukan.

“Ada permohonan yang dibuat mahu menziarahi ibu bapa yang sakit namun mereka gagal memberikan dokumen sokongan. Ada juga pemohon dikesan menyalahgunakan surat kebenaran bekerja.

“Semalam (Sabtu) sahaja, kita terima 655 permohonan dengan 18 daripadanya ditolak kerana gagal memenuhi syarat ditetapkan,” katanya selepas memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekatan jalan raya (SJR) di Jambatan Sultan Mahmud pada Ahad.

Rohaimi turut memaklumkan kemasukan kenderaan ke Terengganu melalui pintu masuk utama Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berkurangan sebanyak 75 peratus.

Beliau berkata, selebihnya yang dibenarkan masuk ketika melalui SJR di Perasing, Kemaman adalah mereka yang mempunyai surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan majoritinya adalah perkhidmatan perlu.

Sementara itu Rohaimi berkata, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 108 kompaun dikeluarkan kepada mereka yang melanggar SOP.

Katanya, kesalahan paling banyak adalah tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal dengan setiap individu dikenakan kompaun antara RM1,500 hingga RM5,000 seorang.

Artikel Berkaitan:

“Kita mempunyai 157 pasukan pemantau di seluruh Terengganu yang ditugaskan melakukan pemantauan di lokasi tertentu seperti pasar raya dan tempat tumpuan ramai.

“Bagaimanapun, dalam tempoh lima hari, kadar pematuhan rakyat negeri ini dilihat pada kadar 96 peratus dan ini membanggakan," katanya.