Lawatan ke Turki bukan untuk berhibur: KPN

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
A
A
A

SANDAKAN - Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan dakwaan mereka berhibur, berjudi dan menyalah guna dana ketika lawatan di Turki baru-baru ini.

Menurutnya, lawatan itu ditaja sepenuhnya oleh Lembaga Totalisator Malaysia (LPM) yang sudah lebih lima kali diadakan sebelum ini.

"Kami juga mengikut proses yang telah ditetapkan iaitu membuat permohonan kepada agensi pengawal kita iaitu berkaitan antaranya Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Banyak perkara yang disebut dalam dakwaan ditularkan itu tidak benar sama sekali terutama dakwaan kami berhibur, berjudi, bermewah dan menyalahgunakan dana," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Buku Panduan Siasatan Jenayah melibatkan Agen Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJ) Sabah Sarawak, di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd; Timbalan Pengarah JSJ (Risikan / Operasi) Datuk Huzir Mohamaed dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Menurut Mohamad Fuzi, ia adalah lawatan kerja rasmi bertujuan untuk mendapatkan maklumat, berbincang serta belajar mengenai isu Islamic State (IS), menangani jenayah perjudian, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sepadan.

"Selepas ini kita juga akan buat laporan lengkap kepada KDN apakah dapatan hasil lawatan berkenaan. Saya tidak tahu bagaimana isu ini tiba-tiba timbul dan dikaitkan dengan sebuah syarikat nombor ramalan yang tiba-tiba muncul," katanya.

Artikel Berkaitan: