Penggabungan RTM-BNC masih dalam pertimbangan

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggabungan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama News Channel (BNC) masih dalam pertimbangan dan belum dimuktamadkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

“Kami tidak meneliti perkara itu sekarang. Tetapi ia bukan dibatalkan. Ia adalah sesuatu yang masih kami pertimbangkan. Kami sedang meneliti perkara-perkara lain dalam RTM dan Bernama sekarang.

“Jadi biarlah kami selesaikan perkara tertentu dahulu. Nanti kami akan pertimbangkan apa yang perlu dilakukan selepas ini,” kata beliau.

Gobind ditemui selepas sesi "Pertemuan Media" dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Julai lepas, Gobind berkata sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk menjalankan kajian terperinci mengenai cadangan untuk menggabungkan RTM dan BNC, dengan keanggotaan jawatankuasa itu terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang untuk meneliti secara halus cadangan penggabungan dua entiti media di bawah kementerian itu.

Kedua-dua RTM dan Bernama telah diminta mengemukakan kertas cadangan dan kertas kerja masing-masing mengenai cadangan penggabungan kedua-dua entiti itu. – Bernama

Artikel Berkaitan: