Sembilan individu ditahan main judi, langgar SOP

Suspek yang ditahan ketika sedang asyik bermain judi di dalam sebuah rumah di Labis, Segamat pada Khamis. -Foto: Ihsan Polis
Suspek yang ditahan ketika sedang asyik bermain judi di dalam sebuah rumah di Labis, Segamat pada Khamis. -Foto: Ihsan Polis
A
A
A

SEGAMAT - Sembilan individu termasuk tujuh warganegara Vietnam ditahan kerana bermain judi dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh dalam satu serbuan di Labis, di sini pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, lapan suspek adalah perempuan dan seorang lelaki yang berusia antara 30 hingga 40 tahun.

Menurutnya, mereka ditahan kira-kira jam 5.30 petang selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

"Semasa serbuan dilakukan, kita dapati mereka sedang asyik main judi daun terup di dalam sebuah rumah.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, seorang suspek perempuan warganegara Vietnam telah berkahwin dengan lelaki tempatan dan mendapat taraf pemastautin tetap (PR).

"Kesemua suspek telah ditahan atas kesalahan melanggar Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen (6) Akta Rumah Judi Terbuka.

"Tiga orang daripada mereka turut dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 43 tahun dikompaun RM5,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Artikel Berkaitan:

Dia didapati melanggar SOP kerana berada di luar rumah tanpa alasan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Redong 1.