Tiga lagi PPV diperlukan untuk capai imuniti berkelompok

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang memerlukan sekurang-kurangnya tiga lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega bagi mencapai sasaran pemberian dos vaksin harian untuk mencapai imuniti kelompok dalam tempoh ditetapkan, menjelang akhir Oktober ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, pihaknya menyeru mana-mana pihak tampil untuk sama-sama berganding bahu merealisasikan pelan itu demi membentuk imuniti kelompok lebih awal daripada perancangan kini.

"Antara keperluan utama yang masih diperlukan adalah tambahan sekurang-kurangnya tiga lagi PPV mega yang mampu memberikan perkhidmatan 5,000 dos suntikan sehari.

"Inisiatif berkaitan merupakan tambahan kepada perancangan sedia ada kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) kini membabitkan 10 PPV (dengan pecahan dua PPV di setiap daerah seperti Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Chow memberitahu, antara hospital swasta yang bakal beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ialah Hospital Lam Wah Ee (jangkaan 7 Jun 2021); Hospital Loh Guan Lye (jangkaan 14 Jun 2021); Hospital Pantai (jangkaan 7 Jun 2021); Hospital KPJ (jangkaan 7 Jun 2021); Penang Adventist Hospital (jangkaan 14 Jun 2021) dan Hospital Gleneagles (jangkaan 14 Jun 2021).

"Semua pendaftaran dan janji temu di hospital-hospital disenaraikan juga adalah menerusi aplikasi MySejahtera sebagaimana ditetapkan dalam program imunisasi kebangsaan," katanya.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin ketika mengadakan lawatan di PPV SPICE Arena dekat sini, mengumumkan pihaknya menyasarkan untuk memberikan 150,000 dos suntikan setiap hari dalam bulan ini dan ditingkatkan kepada 200,000 suntikan menjelang bulan depan. -Bernama

Artikel Berkaitan: