X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki didakwa cabul peserta Unduk Ngadau ditahan

Lelaki yang didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang peserta Unduk Ngadau di tahan polis di pejabatnya di Asia City, Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Lelaki yang didakwa mencabul seorang peserta Unduk Ngadau baru-baru ini ditahan polis di pejabatnya di Asia City, pada Khamis.

Lelaki yang juga ahli politik sebuah parti tempatan itu ditahan selepas mengadakan satu sidang akhbar di pejabatnya kira-kira jam 1 petang.

Difahamkan, lelaki berusia 50-an itu dikatakan mengadakan sidang akhbar berhubung tindakan mahkamah yang akan diambil terhadap dua individu serta dua laman blog dipercayai berkaitan video beliau yang disiarkan baru-baru ini.

Difahamkan, video itu memaparkan lelaki terbabit berselisih faham dengan pengawal keselamatan dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang bulan lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, suspek sudah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan," katanya ketika dihubungi, pada Khamis.

Sementara itu, Hazani berkata, peserta Unduk Ngadau yang menjadi mangsa dalam kejadian itu juga sudah dipanggil untuk hadir dirakam keterangannya.

Katanya, wanita berusia 20-an itu dipanggil bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Sebelum ini, Hazani menegaskan polis akan menjalankan siasatan berhubung laporan polis daripada seorang peserta Unduk Ngadau yang mendakwa dicabul salah seorang ahli jawatankuasa penganjur pertandingan itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!