3,229 kes penipuan siber dalam masa lima bulan

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 4,615 insiden keselamatan siber dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tiga insiden tertinggi yang dilaporkan dalam tempoh itu ialah penipuan sebanyak 3,229 kes diikuti pencerobohan (765) dan kod berbahaya (256).

"Teknologi digital kini telah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan kita. Semasa menghadapi cabaran mendepani pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa ini, penggunaan Internet juga telah meningkat secara ketara di seluruh negara.

“Justeru, kita juga terdedah kepada pelbagai ancaman dan serangan siber," katanya.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama-sama CyberSecurity Malaysia ujar beliau, sentiasa memantau persekitaran ruang siber negara dengan menyediakan perkhidmatan, bantuan serta sokongan teknikal untuk memantapkan lagi sistem rangkaian dan pertahanan siber kepada semua pihak sama ada sektor awam atau swasta serta pengguna Internet individu.

Katanya peringatan dan nasihat juga dikeluarkan dari semasa ke semasa bagi membolehkan pentadbir sistem di organisasi awam serta swasta selain pengguna Internet mendapatkan maklumat mengenai amalan terbaik bagi menangani dan membanteras sesuatu ancaman serta serangan siber.

Maklumat itu boleh didapati melalui portal MyCERT atau Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia, CyberSecurity Malaysia di pautan https://www.mycert.org.my/.

Untuk pelaporan insiden keselamatan siber, Pusat Bantuan Cyber999 boleh dihubungi melalui beberapa saluran iaitu e-mel cyber999@cybersecurity.my, talian 1-300-88-2999 dari Isnin hingga Jumaat (9 pagi hingga 3 petang), telefon bimbit di talian 019-266 5850 bagi panggilan laporan insiden kritikal sahaja serta aplikasi Cyber999 yang boleh dimuat turun di Appstore dan Google Play.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin turut menggesa pengguna Internet agar sentiasa peka, cakna serta melengkapkan diri dengan tatacara penggunaan teknologi dan Internet dengan menggunakannya secara berhemah, positif, beretika dan penuh tanggungjawab. - Bernama