Program Sembang Santai Bossku di UKM tangguh bukan batal

Poster program dan paparan Facebook PMUKM
Poster program dan paparan Facebook PMUKM
A
A
A

BANGI – Program Sembang Santai Bossku bersama Datuk Seri Najib Razak dijadualkan berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), esok (22 Februari) ditangguhkan.

Menurut Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, keputusan itu dicapai oleh universiti kerana program itu adalah anjuran daripada pelajar.

Tambah beliau, sebarang kenyataan akan dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar, Prof Madya Dr Roslee Rajikan dalam masa terdekat.

“Saya difahamkan oleh HEP, program ini ditunda dan kena tanya TNC HEP untuk maklumat lanjut. Program ditangguh ke satu tarikh yang lebih selesa. Bukan dibatalkan.

“Tarikh bila nak diadakan semula kena rujuk dengan HEP,” katanya kepada sebuah portal tempatan.

Bekas perdana menteri itu, yang terkenal dengan slogan 'malu apa bossku', dijadual berucap di aras lima bangunan Pusanika kampus tersebut jam 3.30 petang Jumaat ini.

Pelajar-pelajar yang awal hadir dalam acara Sembang Santai Bossku anjuran Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) akan mendapat pelekat dan baju T 'bossku'.

Menerusi Facebook MPP UKM, program santai itu turut menyediakan sesi soal jawab antara bekas Perdana Menteri bersama mahasiswa terbabit.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, program itu tiada penglibatan daripada pihak pengurusan universiti kerana segala perancangan dilakukan oleh pelajar universiti berkenaan.