PSM sudah tiga kali hantar surat

Laporan Sukan Sinar 29 Mei lalu. Gambar kecil: Abidullah
Laporan Sukan Sinar 29 Mei lalu. Gambar kecil: Abidullah
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengesahkan telah menghantar surat kepada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) berhubung penyingkiran badan induk sepak takraw negara itu dari gabungan berkenaan yang berkuatkuasa serta-merta pada 20 Mei lalu.

Malah menurut Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh, ini merupakan kali ketiga pihaknya telah menghantar surat kepada badan induk sepak takraw Asia tersebut memohon penjelasan terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas PSM.

“Ya, hari ini (Selasa) kami sekali lagi sudah menghantar surat memohon penjelasan pertuduhan yang merupakan surat ketiga kepada ASTAF untuk badan induk tersebut menyertakan dokumen-dokumen pertuduhan yang mengaitkan PSM dalam sesi pendengaran sebelum ini.

“ASTAF, seperti biasa masih belum lagi memberi maklum balas terhadap segala permohonan PSM seperti sebelum ini. Kami hendak tahu dari sudut mana kesalahan PSM sehingga menyebabkan badan induk sukan tertua negara ini diperlakukan sebegini?

“Satu lagi, bagaimanakah kami hendak membuat rayuan kerana ASTAF masih lagi tidak menghantar sebarang dokumen-dokumen berkaitan pertuduhan yang dikenakan terhadap PSM sebelum ini,” kata Abidullah ketika dihubungi Sukan Sinar pada Selasa.

Abidullah berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini status rayuan 14 hari diberikan ASTAF kepada PSM yang bakal berakhir pada 3 Jun ini.

Pada masa sama Abidullah turut mempersoalkan tindakan ASTAF menaikkan proses rayuan dari AS$2,000 berserta AS$15,000 bayaran wang untuk mesyuarat jawatankuasa rayuan yang berjumlah AS$17,000 sekiranya PSM memilih untuk membuat rayuan.

Jelas Abidullah lagi, PSM sehingga ke hari ini masih samar terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadap persatuan tersebut tanpa dokumen pertuduhan yang jelas daripada ASTAF.

Artikel Berkaitan:

“Mengapa hendak sabitkan PSM dalam pertuduhan ini? inilah penjelasan yang PSM masih tunggu daripada ASTAF. Untuk makluman sebelum sesi pendengaran 20 Mei lalu, kami hantar surat kepada ASTAF memohon dokumen-dokumen berkaitan pertuduhan tersebut untuk kami bela diri.

“Ikutkan kronologinya, kami difahamkan Tok Mat yang menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dengan salinannya Majlis Olimpik Antarabangsa atas kapasiti Tok Mat sebagai Timbalan Presiden ASTAF semasa kongres ketika itu. Jadi itu antara Tok Mat dengan ASTAF. Tok Mat tak pernah gunakan kepala surat PSM dan kami pula tidak tahu-menahu tentang surat itu. Kenapa PSM pula yang diheret dalam kemelut ini.

“Jadi apabila ASTAF babitkan PSM dalam isu ini, apa kena mengena PSM dengan perkara ini? Kami tanya mengenai perkara ini, namun sehingga kini masih belum menerima jawapan.

“Jadi surat kita kepada ASTAF, kami tuntut sebab-sebab yang mengaitkan PSM dalam isu ini. Dan sekiranya PSM rayu, bermakna persatuan seolah-olah telah pun membuat kesilapan dalam isu ini,” katanya.