X

Kindly register in order to view this article
!

Nama Timbalan KPN akan diumum dalam masa terdekat

Hamzah Zainuddin
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara akan diumumkan selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata, perkara tersebut mempunyai proses tersendiri iaitu nama-nama yang telah disenaraipendekkan harus melalui proses Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

“Apabila SPP telah bersetuju kita akan minta hantarkan nama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Apabila Perdana Menteri bersetuju, kita akan persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kemudian baru kita boleh umumkan.

“Kita jangka dalam masa seminggu dua, insya-ALLAH,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Bukit Jelutong, di sini pada hari pertama pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh seluruh negara pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekosongan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara selepas pelantikan rasmi Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menjadi Ketua Polis Negara pada 3 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, secara purata jumlah kenderaan di jalan raya berkurangan sebanyak 70 peratus pada hari pertama pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Beliau berharap agar keadaan ini akan berterusan supaya dapat membantu kerajaan dalam usaha melandaikan lengkung kes Covid-19 dalam negara.

"Daripada laporan yang saya dapat daripada Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman sebentar tadi bahawa ada pergerakan di jalan raya yang berkurangan sampai 90 peratus, tetapi (secara) keseluruhannya adalah purata 70 sehingga 80 peratus kurang daripada hari biasa," katanya.

"Hari pertama dan kedua mungkin akan ada kelonggaran asalkan mereka yang menggunakan jalan raya memaklumkan kepada kita akan kesulitan mereka untuk mendapatkan permit (kelulusan)," katanya.

Selain SJR Bukit Jelutong, beliau turut merninjau SJR Tol Subang dan SJR Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!