Panda gergasi lahirkan anak ketiga

Panda gergasi, Liang Liang selamat melahirkan seekor anak di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara.
Panda gergasi, Liang Liang selamat melahirkan seekor anak di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Panda gergasi, Liang Liang selamat melahirkan seekor anak pada Isnin di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara di sini.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, anak panda yang dilahirkan pada 8.30 malam itu adalah kelahiran kali ketiga untuk pasangan Liang Liang (panda betina) dan Xing Xing (panda jantan) sejak berada di Malaysia pada 2014.

Anak pertama dan kedua iaitu Nuan Nuan dan Yi Yi masing-masing dilahirkan pada 18 Ogos 2015 dan 14 Jan 2018.

"Pada masa ini, jantina anak panda itu belum dapat dikenal pasti kerana ia masih di bawah jagaan rapi ibunya dan tidak dapat didekati. Petugas Zoo Negara akan terus memantau dan mengawasi Liang Liang dan anaknya bagi tempoh 24 jam," menurut kenyataan itu.

Perhilitan turut memberitahu kelahiran anak panda gergasi kali ketiga itu merupakan satu lagi kejayaan kepada usaha konservasi Giant Panda di bawah Program Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan China yang dimeterai pada 2012.

Pada 21 Mei 2014, Malaysia menerima sepasang panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang daripada kerajaan China sebagai meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: