ADUN Pas Kedah sumbang 70 peratus sebulan gaji

Muhammad Sanusi (kiri) bersama kesemua ADUN Pas menyumbang 70 peratus gaji bulan Jun kepada Tabung Bantuan Bencana Covid-19.
Muhammad Sanusi (kiri) bersama kesemua ADUN Pas menyumbang 70 peratus gaji bulan Jun kepada Tabung Bantuan Bencana Covid-19.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor serta 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Kedah bersepakat untuk menyumbang sebahagian daripada gaji bulan Jun kepada tabung bantuan bencana Covid-19.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd Azam Abd Samat berkata, sebanyak 70 peratus daripada gaji bulan Jun akan disumbangkan kepada tabung berkenaan bagi membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19, setelah kerajaan melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh di seluruh negara bermula Selasa.

Menurut Pengerusi Kelab Penyokong ADUN Kerajaan itu, 50 peratus daripada gaji itu akan disumbangkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) manakala 20 peratus lagi disumbangkan kepada Tabung Bencana Covid-19 yang dilancarkan oleh Pas Pusat.

"Saya juga mohon golongan yang berkemampuan untuk sama-sama membantu rakyat yang terkesan.

Di saat ini, jangan hanya berbicara perihal tangan yang menerima tetapi jadilah juga golongan yang memberi," katanya.

Mohd Azam berkata, semua rakyat diminta bersatu mengharungi cabaran pandemik ini.

"Semoga ALLAH SWT terima segala amal soleh dan permudahkan segala urusan kita dalam memerangi wabak ini," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya menyambut baik inisiatif Pas Pusat melancarkan Tabung Bencana Covid-19 untuk membantu golongan yang terkesan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Persekutuan mahupun negeri telah umumkan pelbagai bantuan untuk rakyat. Namun dalam suasana rakyat yang terkesan dengan bencana Covid-19 ini, langkah yang diambil Pas Pusat dapat melebarkan jumlah sasaran penerima," katanya.

Menurutnya, anggaplah pandemik ini sebagai ujian daripada ALLAH SWT, namun apa yang kita hadapi ini tidak sesukar penderitaan saudara Islam di Palestin.

"Ketika ramai dalam kesusahan, masih ramai juga antara kita yang mempunyai kelebihan harta. Bermurah hatilah untuk bantu mereka yang terkesan," katanya.

Ahmad turut menyokong program vaksinasi Pas Pusat yang diwujudkan sebagai ikhtiar terbaik ke arah memutuskan rantaian pandemik.

"Saya harap semua ahli Pas mendaftar untuk vaksinasi dan hadir bila dipanggil untuk janji temu," katanya.