Rayu benarkan penjual durian berniaga, elak kerugian besar

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

GEORGETOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diminta untuk membenarkan penjualan durian dan buah-buahan bermusim lain di kawasan tertentu dalam tempoh perlaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun ini.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, bulan Jun merupakan musim durian di kawasan Barat Daya termasuklah Balik Pulau, Sungai Ara dan Teluk Bahang.

Menurutnya, sudah tiba masanya pengusaha dusun buah-buahan di sini ingin menjual hasil setelah berbulan lamanya mereka menjaga tanaman dengan baja bagi memastikan keadaan pokok berada dalam keadaan sihat serta menghasilkan buah yang berkualiti.

"Saya ingin merayu pihak MBPP supaya membenarkan peniaga-peniaga durian meniaga di kawasan tertentu seperti di tepi jalan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan oleh pihak majlis.

"Ini adalah kerana menjual buah durian, manggis, cempedak dan rambutan merupakan perniagaan bermusim sekali gus mampu mengelakkan mereka mengalami kerugian besar jika tidak dapat menjual hasil buah-buahan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Muhammad Bakhtiar berkata, dalam SOP terbaharu yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekatan pergerakan penuh yang akan berkuatkuasa dari 1 Jun hingga 14 Jun, penjualan makanan dan minuman adalah termasuk dalam kategori yang dibenarkan.

Oleh itu, katanya jualan hasil buah-buahan juga perlu dibenarkan asalkan peniaga harus memastikan SOP diikuti termasuklah penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

"Saya berharap pihak MBPP dapat mempertimbangkan saranan saya ini demi menjaga kebajikan para peniaga dan pekebun durian yang rata-ratanya berada dalam kawasan Parlimen Balik Pulau," katanya.

Artikel Berkaitan: