Polis siasat status Instagram Noor Kartini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis sedang melakukan siasatan berhubung satu status di Instagram milik Datin Noor Kartini Noor Mohamed, 54, yang didakwa menghina Sultan Johor menerusi paparan visual bertajuk Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh pemilik Instagram berkenaan iaitu Noor Kartini.

"Laporan dibuat Noor Kartini di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail kira-kira jam 5.44 petang.

"Siasatan awal mendapati individu berumur 32 tahun mengaku tersilap menggunakan Instagram milik ibu Neelofa itu dengan membuat posting di 'instastory' Instagram tersebut.

"Kes ini masih dalam siasatan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan kesalahan Kecil 1955," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya berkongsi sebarang maklumat berita di media sosial sehingga menjejaskan reputasi dan hak asasi individu lain.

Pada Sabtu, ibu kepada Neelofa itu didakwa memuat naik tulisan pada gambar dan berita dengan paparan visual Sultan Johor bertajuk Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar.

Pada visual tersebut memaparkan tulisan jelik yang menerima kecaman netizen kerana tidak menghormati Sultan Johor.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun wanita berkenaan menafikan kenyataan tersebut dimuat naik olehnya.