83 mangsa nahas tren LRT belum dikesan

Antara penumpang yang cedera apabila dua tren LRT terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru pada 24 Mei lalu. -Foto Bernama
Antara penumpang yang cedera apabila dua tren LRT terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru pada 24 Mei lalu. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meminta penumpang yang terlibat dalam insiden kemalangan tren perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Isnin lepas supaya menghubungi pihaknya jika masih belum berbuat demikian untuk menyelaras bantuan kepada mangsa.

Prasarana dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, sehingga jam 8 pagi Sabtu, masih ada 83 penumpang yang tidak berjaya dikesan dan mereka diminta menghubungi saluran khas 014-7371330 atau e-mel recovery2021@prasarana.com.my bagi tujuan berkenaan.

“Prasarana akan memberikan sumbangan ihsan atau ‘goodwill payment’ kepada penumpang yang terlibat dalam insiden itu. Jumlah bayaran dan hak penerimaan akan ditentukan sebaik butiran penumpang dapat dilengkapi,” menurut kenyataan itu.

Menurut Prasarana, daripada 130 penumpang yang telah berjaya dikesan, 12 merupakan warga asing dari negara Indonesia, Filipina, Iran, Bangladesh serta Timur Tengah dan pihak kedutaan negara-negara berkenaan telah pun dihubungi.

Sementara itu, daripada 67 individu yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, 62 telah dibenarkan keluar, lima masih di hospital dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tiga ditempatkan di wad biasa dan dijangka dibenarkan discaj dalam tempoh dua hingga tujuh hari.

“Saya juga memohon maaf atas sebarang kekhilafan dan kepincangan kami dalam menangani insiden ini. Fokus utama Prasarana pada waktu ini adalah untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada para penumpang terbabit serta keluarga mereka,” menurut Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah.

Prasarana juga memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh dan telus kepada Jawatankuasa Siasatan oleh Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di samping berhubung rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Dalam kejadian 8.33 malam itu, sebuah tren yang tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC. - Bernama

Artikel Berkaitan: