PDRM tambah SJR, pasukan pemantauan SOP: KPN

Datuk Seri Acryl Sani Abdullah. - Foto Bernama
Datuk Seri Acryl Sani Abdullah. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menambah bilangan sekatan jalan raya (SJR) serta pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) dalam memastikan orang ramai mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan itu adalah susulan kerajaan memperketatkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita menambah 51 SJR di seluruh negara kepada 576 sekatan berbanding 525 sekatan bagi melaksanakan PKP 3.0 sejak 12 Mei lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Acryl Sani berkata, penambahan bilangan sekatan jalan raya itu dikuatkan lagi dengan penambahan anggota yang ditugaskan di semua sekatan jalan raya iaitu kepada 10,114 anggota berbanding 9,391 anggota sebelum ini.

"Bilangan pasukan pemantauan pematuhan SOP turut ditambah daripada 3,103 pasukan sebelum ini kepada 3,503 pasukan," katanya.

Menurutnya, penambahan pasukan ini bagi membolehkan lebih banyak operasi pemantauan SOP dilaksanakan bagi memastikan masyarakat serta sektor sosial dan sektor ekonomi mematuhi SOP PKP terbaharu yang ditetapkan.

"Kita minta semua pihak terus mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid 19," katanya.

Dalam kenyataan, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim sebelum ini memaklumkan langkah menambah SJR bertujuan membuat semakan lebih teliti ke atas pengguna jalan raya yang melakukan pergerakan rentas daerah dan negeri selain menyekat sebarang pergerakan tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan:

"Anggota polis bertugas di SJR akan membuat semakan lebih teliti termasuk ke atas pengguna jalan raya untuk bekerja, walaupun mereka ada surat daripada majikan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Ia termasuk mereka yang mempunyai permit pergerakan PKP daripada polis untuk tujuan kecemasan atau pasangan jarak jauh atau tujuan lain yang dibenarkan akan disemak lebih teliti kerana kita tidak mahu berlaku penipuan," katanya.