PTPTN lancar empat saluran bayaran, tabungan

Ahmad Dasuki Abdul Majid
Ahmad Dasuki Abdul Majid
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan empat saluran baharu bagi bayaran balik pinjaman dan penabungan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) secara dalam talian.

Empat saluran tersebut ialah Shopee, kiplePay, BESTPay dan KelantanPAY hasil kerjasama strategik PTPTN dengan penyedia saluran terlibat.

Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, dalam situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini, kaedah bayaran secara dalam talian adalah alternatif terbaik bagi membantu masyarakat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai peminjam dan menyimpan di dalam SSPN secara konsisten tanpa perlu keluar rumah untuk ke kaunter PTPTN.

“Pendekatan bayaran secara dalam talian ini juga adalah sebahagian usaha ke arah pendigitalan PTPTN secara menyeluruh bagi penyampaian perkhidmatan dalam talian berbentuk hujung ke hujung,” katanya pada majlis pelancaran saluran itu pada Selasa.

Tambahnya, sempena pelancaran saluran bayaran berkenaan, PTPTN dengan kerjasama Shopee, kiplePay, BESTPay dan KelantanPAY turut menganjurkan Kempen ‘Clik, Pay & Earn’ istimewa kepada semua pelanggan PTPTN.

“Dengan konsep ‘siapa cepat dia dapat’, pengguna terawal yang menggunakan saluran ini berpeluang mendapat pulangan menarik yang ditawarkan. Tempoh kempen ini bermula Selasa hingga 24 Jun 2021,” katanya.

Sementara itu, Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, kerjasama berkenaan selaras dengan pelan Malaysia untuk mempercepatkan proses digitalisasi termasuk dalam bidang pembayaran.

“Kami juga telah mengaktifkan beberapa pilihan kaedah pembayaran bagi PTPTN seperti perbankan dalam talian, kad kredit dan debit serta dompet mudah alih kami sendiri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas isu sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif kiplePay, Rickey Lew berkata, dengan menjalin kolaboratif bersama PTPTN untuk kempen berkenaan dan menawarkan insentif dalam jaringan dunia e-dompet, mereka dapat mewujudkan ekosistem digital yang lebih luas kepada pengguna dalam era digital seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara digital.

Ketua Pegawai Eksekutif BESTPay, Razwan Ikmal Rosli pula berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan PTPTN untuk Kempen ‘Click, Pay & Earn’.

“Dalam dunia yang serba canggih dan moden ini, kami merasakan apa jua transaksi boleh dilakukan melalui telefon mudah alih di mana jua anda berada dan ia mudah dan pantas,” katanya.

Bagi Pengurus Besar KelantanPAY, Mohd Roslan Mohd Zain, kerjasama strategik antara Kelantan ICT Gateway dan PTPTN diharapkan dapat memangkin kesedaran rakyat.

“Serta menyediakan lebih banyak platform yang mesra pengguna untuk membolehkan rakyat dan peminjam PTPTN membuat bayaran balik dan simpanan dengan lebih mudah dan selamat,” katanya.