PKPD: Tiada pembelian panik, orang ramai dilihat sudah bersedia

Azizah melayan pengunjung yang datang ke gerai ayam di Pasar Besar Kuantan pada Ahad.
Azizah melayan pengunjung yang datang ke gerai ayam di Pasar Besar Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Pengalaman mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu membuat penduduk di bandaraya Kuantan dilihat lebih bersedia dengan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin.

Tinjauan di sekitar pasar raya dan pasar besar di bandar raya ini mendapati kebanyakan penduduk mula membeli barang keperluan sebagai persediaan bagi menghadapi PKPD tersebut.

Mereka dilihat melakukan pembelian dalam keadaan tenang selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Peniaga, Abdul Mujib Ali, 50, berkata, kegiatan jual beli secara keseluruhannya dalam keadaan terkawal dan tiada pembelian panik berlaku.

Menurutnya, ini kemungkinan peniaga dan pengunjung sudah mempunyai pengalaman berdepan dengan situasi itu kira-kira setahun lalu.

“Ini bukan kali pertama kita berdepan PKP. Sudah setahun kita harungi PKP. Jadi apa lagi yang nak kita panik.

"Memang ramai pengunjung pada hari ini. Kalau kita tengok di luar sana, ramai yang beratur tetapi terkawal kerana Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menetapkan had jumlah pengunjung yang boleh berada dalam pasar pada satu-satu masa,” katanya yang sudah berniaga di pasar itu sejak kira-kira 20 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Pengunjung mematuhi SOP ditetapkan MBK sebelum memasuki Pasar Besar Kuantan pada Isnin.
Pengunjung mematuhi SOP ditetapkan MBK sebelum memasuki Pasar Besar Kuantan pada Isnin.

Bagi peniaga ayam, Azizah Omar, 33, keadaan di pasar juga terkawal meskipun ramai pengunjung datang membeli barang keperluan di pasar.

“Memang tidak dinafikan jumlah pengunjung pasar hari ini meningkat lebih 80 peratus berbanding biasa.

"Mungkin mereka sengaja datang awal untuk mengelakkan bersesak-sesak, tapi nampaknya pagi ini memang ramai berbanding hari minggu sebelum ini," ujarnya.

Sementara itu, seorang pengunjung Pasar Besar Kuantan, Nor Ashikin Abu Bakar, 33, berkata, pelaksanaan PKPD tidak mengganggu rutin harian suri rumah sepertinya.

Malah, katanya, pembelian pada hari ini adalah untuk kegunaan bagi tempoh seminggu, sekali gus dapat mengurangkan pergerakan.

"Kalau sebelum ini saya ke pasar dalam tiga kali seminggu, sejak kes Covid-19 meningkat, saya cuma datang sekali seminggu sahaja.

“Buat masa ini saya fikir tidak perlu panik kerana semua bekalan mencukupi di pasar ini. Pelaksanaan PKPD tidaklah sampai membuatkan orang ramai melakukan pembelian panik,” katanya.

Bagi seorang anggota tentera, Shuhaimi Johari, 40, adalah lebih baik membuat pembelian untuk dua minggu terus supaya dapat mengurangkan pergerakan.

"Ini bukan pembelian panik. Saya selalu membeli barang dalam kuantiti yang banyak kerana dapat meluangkan masa lebih lama untuk duduk di rumah," katanya.