[EKSKLUSIF] 6,725 frontliners KKM dijangkiti Covid-19

Setakat 15 Mei lalu, seramai 2,445 jururawat telah dijangkiti Covid 19 sejak virus pembunuh itu menyerang negara tahun lalu.
Setakat 15 Mei lalu, seramai 2,445 jururawat telah dijangkiti Covid 19 sejak virus pembunuh itu menyerang negara tahun lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perjuangan menentang pandemik Covid-19 yang menyerang negara sejak lebih setahun lalu masih belum menemui noktahnya malah Malaysia kini diasak dengan gelombang pandemik yang lebih dahsyat apabila statistik kes harian sudah mencecah angka tertinggi 6,806 kes pada Khamis.

Walaupun krisis terkini menimbulkan pelbagai perdebatan sehingga ada yang lebih gemar mengecam, namun hakikatnya sebagai benteng terakhir kesihatan negara, frontliners terutamanya di bawah panji Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan sahaja bertarung nyawa, malah ada yang meninggal dunia demi melawan virus Covid-19.

Bagaimanapun sebagai kelompok yang paling berisko, dalam temu ramah eksklusif bersama Sinar Harian baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mendedahkan, setakat 15 Mei lalu seramai 6,725 frontliners KKM pelbagai jawatan telah dijangkiti dan lebih tragis lima kematian direkodkan.

Menurut beliau, data menunjukkan seramai 802 orang atau mewakili 12 peratus daripada jumlah keseluruhan telah mendapat jangkitan daripada pesakit ketika menjalankan tugas.

“Walaupun lengkap berpakaian sut perlindungan PPE, frontliners terutamanya petugas kesihatan tetap berisiko untuk dijangkiti berikutan tuntutan tugas yang memerlukan mereka mengendalikan pesakit secara dekat.

“Virus tidak mengenal lengkap atau tidak pakaian PPE. Ia hanya mampu mengurangkan penularan dan langkah sebaiknya adalah menjaga jarak.

“Namun sebagai petugas kesihatan, agak sukar menjaga jarak fizikal kerana mereka perlu melakukan pelbagai tugas melibatkan sentuhan antaranya mengalihkan pesakit, menyedut kahak, intubasi dan sebagainya,” ujar Dr Adham ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya pada Ahad lalu.

Katanya lagi, seramai 3,343 petugas kesihatan dijangkiti menerusi komuniti, 2,030 petugas dijangkiti dalam kalangan sesama petugas kesihatan, 393 petugas kesihatan masih di bawah siasatan dan 157 petugas kesihatan daripada lain-lain punca.

Artikel Berkaitan:

Dr Adham menunjukkan statistik kes Covid-19 dalam kalangan frontliners KKM ketika ditemui di Putrajaya baru-baru ini.
Dr Adham menunjukkan statistik kes Covid-19 dalam kalangan frontliners KKM ketika ditemui di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau turut mendedahkan, frontliners KKM paling ramai dijangkiti adalah jururawat iaitu seramai 2,445 diikuti pegawai perubatan (893); pembantu perawatan kesihatan (584 ); penolong pegawai perubatan (565); pegawai perubatan siswazah (367); pakar perubatan (141) dan lain-lain seramai 1,729 orang.

“Walaupun peratusan pakar perubatan yang dijangkiti hanya dua peratus namun ia melibatkan jumlah agak besar iaitu 141 orang dan mereka ini diperlukan dalam menangani situasi Covid-19," katanya.

Selaku antara penggerak utama KKM dalam menangani situasi Covid-19, Dr Adham menegaskan, adalah penting untuk memastikan keselamatan frontliners terutama ketika bertugas kerana mereka ini adalah benteng pertahanan kesihatan negara.

"Mereka bertugas siang malam pagi petang malah ketika kes semakin meningkat mereka menggandakan usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat.

"Terutama sekali pasukan yang dikenali sebagai Rapid Response Team yang akan membuat penilaian risiko sebaik dimaklumkan terdapat kes positif Covid-19. Kemudian kita ada Rapid Active Team yang akan menjalankan pengesanan kontak di lapangan.

"Semua frontliners ini terdedah kepada risiko jangkitan dan disebabkan itu kita mewajibkan pemakaian lengkap PPE ketika bertugas.

"Kita mahu mengurangkan risiko jangkitan dan menyelamatkan nyawa. Itu yang kita panggil lindung diri, lindung semua," ujarnya.

Keadaan di wad ICU, frontliners yang sedang bertugas menjaga pesakit Covid-19.
Keadaan di wad ICU, frontliners yang sedang bertugas menjaga pesakit Covid-19.

Menurutnya, dalam situasi genting yang menyaksikan frontliners semakin kepenatan, katil-katil wad ICU semakin tidak mencukupi dan kapasiti hospital Covid-19 di seluruh negara hampir mencapai tahap maksima, masyarakat sendiri harus memainkan peranan.

"Masyarakat sendiri harus berperanan menjaga diri dan cara paling berkesan adalah dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan," kata Dr Adham yang juga saban waktu sentiasa sibuk memantau situasi Covid-19 termasuklah mengorbankan waktu rehat hujung minggu untuk bertugas baik di pejabat atau lapangan.

Menyentuh tentang frontliners yang dijangkiti dan kembali bertugas setelah sembuh, Dr Adham berkata, mereka ini adalah barisan pertahanan kesihatan yang wajar diberi penghargaan.

“Kalau kita tidak menghargai mereka, siapa lagi? Mereka bergadai nyawa untuk terus bertugas. Mereka perlukan doa dan sokongan daripada rakyat untuk terus berada di barisan hadapan dan menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

“Doa-doa ini juga perlu disertakan dengan pengorbanan orang ramai itu sendiri. Kita sama-sama mengamalkan norma baharu kehidupan dan mematuhi garis panduan untuk mengelak dan memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.