Puteri UMNO Johor rayu kerajaan laksana PKP penuh

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Puteri UMNO Johor merayu kepada kerajaan agar cadangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan dan disokong oleh kabinet.

Ketua Puteri UMNO Johor, Nur Ain A Rahman berkata, sejarah telah membuktikan PKP ketat dalam beberapa tempoh berjaya menurunkan kes Covid-19 ke satu angka.

“Pergerakan rakyat Malaysia perlu dihadkan agar tiada rantaian sebaran Covid-19. Varian baharu Covid-19 ini berisiko maut untuk semua bukan warga emas sahaja tetapi semua peringkat umur.

“Fasiliti kesihatan negara berada di tahap genting dan mencapai penggunaan maksimum. Kita juga dapat melihat, membaca dan sudah pasti menyedari bahawa saudara, kawan-kawan, jiran dan kenalan yang dijangkiti Covid-19 malah lebih sedih lagi Covid-19 menjadi asbab dijemput ilahi,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai Covid-19 yang mencapai 6,075 kes pada Rabu dan Selangor merupakan negeri yang mencatatkan kes tertinggi dengan 2,251 kes.

Menurut beliau, rakyat Malaysia bukan sahaja perlukan kesedaran tetapi ketegasan perundangan dan pengorbanan perlu dilakukan sekali lagi.

“Covid-19 bukan konspirasi politik mana-mana pihak, ia adalah hakikat. Benar, penutupan sektor ekonomi sudah pasti menyumbang kepada pengangguran dan kesusahan rakyat.

“Maka kerajaan juga perlu menyediakan pakej bantuan jangka pendek segera untuk setidaknya rakyat bertahan hidup.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi sekiranya kerajaan hanya membiarkan PKP separuh masak dilaksanakan, kita akan sukar dalam jangka masa yang lebih lama berserta dengan kehilangan nyawa,” katanya.